marsum cinta buat adinda

bahasa itu jiwa bangsa, bahasa itu menzahirkan jiwa.

Jiwa rebungmu mudah melatah,

Menjerit melontarkan kedukaan,

Menangis meluahkan rasa,

Bersuara memancing emosi..

Kau begitu bebas,

Bertingkah tanpa perasaan salju,

Membiarkan hujan gugur memenuhi kolam mataku,

Mencakar satu garisan di garisah lara..

Cukuplah kau bertuankan nafsu,

Renangilah lautan kasih ini,

Meski yang kau pandang itu,

Ibarat gelora yang menggila,

Tapi percayalah kau masih buta menilai,

Kerana itulah jalan menuju muara bahagia.

Adindaku,

Carilah sumur kedamaian kembali,

Sebelum dirimu ditarik ke lembah zulmat,

Percikan lava kemarahan ini bukanlah satu azab,

Tapi satu bukti kesuburan cinta kita.

Advertisements

reformasi

Malam menjengah tatkala mentari berehat seketika melepaskan lelah menyinari benua Asia ini, melawat bumi Barat pula yang sudah ditinggalkan bulan purnama yang cantik bersinar. Pesawat-pesawat ringan bersaiz sebesar  kereta kancil menghiasi dada angkasa dan ditemani kerlipan satelit-satelit yang berterbangan di taman bimasakti ini. Lampu-lampu yang berbagai warna dan bentuk menghidupkan kegelapan malam. Bangunan yang bercerakakan tumbuh melata bagai semut yang menghurung gula yang tumpah. Bandaraya semakin menuju kegemilangan, dan desa sudah bertukar wajah. Hutan dara yang dahulunya dipelihara rapi, kini hanya menyanggupi dalam terpaksa dirinya dinodai oleh tangan manusia yang rakus, akal manusia yang bernafsu. Segala-galanya direntap arus kemodenan yang menjadi matlamat utama gagasan kerajaan.Dada akhbar yang pada abad ke 21 masih lagi menjadi santapan pagi di warung-warung mahupun ruang makan keluarga kini hancur lumat tradisi itu dihapuskan. Entah mengapa ia berlaku. Meski perubahan dunia yang berlaku dahulu pernah mencetuskan kemarahan dan rusuhan besar-besaran menolak bayu modenisasi melampau ini, tetapi kini hanya tinggal kenangan. Mungkin jua mereka sudah tiada upaya untuk melawan kegergasian kerajaan, ataupun mereka yang berdaya juang ini sudah hilang taringnya dek dimamah cacing cinta akan dunia! Namun segalanya tersembunyi hikmah. Modenisasi yang sepatutnya menguntungkan manusia telah bertukar menjadi barah hedonism!

Punat hijau di tepi tingkap ditekannya lemah. Jasad yang semakin hari, menunggu detik pengakhirannya di bumi ini termenung di jendela yang bertindak sendiri terbuka pabila butang hijau itu ditekan. Oh sungguh mudah kerja manusia pada hari ini. Entah bagaimana lagi kehandalan manusia kelak,getus hati insan yang sudah melangkaui separuh abad. Sungguh pantas peralihan masa berlalu. Kerlipan bintang cuba dicarinya. Matanya yang sudah tua, masih lagi selamat dari diselaputi selaput kelabu . Teknologi masakini mampu mengubati segalanya. Ah,bercakap seperti tiada iman! Mampu ia menghalang malaikat maut meskipun tembok setinggi langit diciptakan?Mampu ia menghidupkan jiwa yang tandus dengan cahaya kebahagian yang sebenar. Tidak!! Hati si tua ini kembali bersemangat.

Lamunan panjang itu terhenti dek suara cucunya yang menerjah ruangan pancainderanya. Bibir yang tua ,kekeringan itu cuba senyum menyapa layanan anak remaja  yang sudah terbiasa hidup senang . Begitu susah mencorak kain putih jenama zaman atom ini.. Tangannya yang sudah berkedut menampakkan urat jalur hijau itu mengusap lembut ubun-ubun lantas mengharapkan segalanya yang terbaik buat permata hati. Biarpun cucunya sudah di akhir umur belasan tahun, namun kasih sayangnya tidak pernah kurang.

“Atuk, hari ini atuk tak cerita lagi kisah hidup atuk..” Begitulah rutin harian si tua ini. Memasang semangat ke dalam jiwa anak dan cucunya dari perjuangan lampaunya berhadapan tribulasi yang mencengkam kesejahteraan Negara. Meskipun bukan dirinya yang berada di barisan hadapan dalam membebaskan tanah air yang dahulunya dicengkam penjajah yang membawa kudis kepada pentadbiran Negara hingga kini, namun sedikit sebanyak dirinya membantu meningkatkan semangat sahabat juangnya dengan coretan di bingkai akhbar Melayu.

Alat kawalan jauh dicapai cucunya, Fakhri al Walid. Nama yang diharapkan dapat mengembalikan kedaulatan Islam di bumi bertuah ini.  Skrin besar yang memenuhi dinding ruang keluarga itu terpasang.  Cerita yang memaparkan kelincahan lenggok badan manusia terhinjut-hinjut menari mengikut rentak menjadi santapan mata manusia masa kini. Entah kemana hilangnya siaran agama seperti forum perdana, halaqah, usrah dan sebagainya?? Akta siaran televisyen Negara yang muncul berpaksikan duniawi semata-mata telah membunuh segala macam halwa jiwa, mata dan telinga insan-insan yang dahagakan hiburan Islam.

“ Astaghfirullah..”pantas perkataan itu meluncur keluar dari bibir Fakhri. Segera arahan CLOSE dikeluarkannya dengan garang dan serta merta skrin itu terpadam. Hati sang muda ini turut bergelut kesah sedangkan remaja di zamannya bergembira meneguk kehidupan yang penuh kesenangan. Hiburan,makanan jiwa remaja amat mudah di dapati. Ibarat petik jari semua ada. Muka raut tua si datuk melirikkan senyuman. Berbangga dek kekentalan jiwa remaja ini yang tidak mudah tertewas oleh agenda kebahagian sementara. Kaki Fakhri cepat dibawa pergi ke biliknya bersama niat di hati.  Arahan OPEN bersama kata laluan diberikan, serentak skrin nyalaan biru lazuardi menyinari kamarnya.

“Assalamualaikum sahabat sekalian. Hari ini ana nak buat meeting. Pukul 10 malam tepat kita munaqasyah bersama-sama. Masuk halaman sesawang kumpulan kita bersama kata laluan baru REFORMASI.”

**

Bunyi hentaman muzik masih berkumandang di metropolitan.Masih? Pernahkan ia berhenti?Seperti tidak sesuai perkataan itu digunakan. Jika takdir masa dijadikan 40 jam sehari, selama tempoh itulah ia tetap mengisi corong telinga manusia. Bunyi zikir bergema menghiasi bilik mujahid muda itu, melawan anasir luar yang cuba memahat kalbu. Dirinya masih berteleku di sejadah merah menanti ketibaan sahabat-sahabat seperjuangan di dunia siber. Perjumpaan berteraskan akademik apatah lagi bernadikan keislaman dipantau hebat. Pelbagai cara dan teknologi dihasilkan bagi menjayakan segala tindak-tanduk penguasa Negara. Namun di sebalik kehebatan jentera kerajaan menerbitkan teknologi yang membeliakkan mata rakyat, tetapi tenaga pemuda-pemuda Islam yang masih berbaki ini tidak pernah menyerah pada kekalahan. Biarpun tidak bersekolah di bawah lembayung ajaran pemerintah dunia, tetapi siapa bilang mereka tidak mampu mencipta kejora. Segala teknologi bertaraf tinggi yang mereka hasilkan disembunyikan daripada pengetahuan si pemerintah berkuku besi.

Lafaz bismillah dan kata laluan bertali arus memasuki sistem. Hanya beberapa saat berlalu dari jam sepuluh , semua ahli Gerakan Islamic Youth Cluster (GIYC) memenuhi ruangan maya. Wajah-wajah ahli yang datangnya dari serata pelosok Negara ini, tidak kira di pulau atau di ceruk desa yang membangun, semuanya berkumpul memakbulkan permintaan si ketua yang berdedikasi. Ketepatan masa memang menjadi pegangan mereka. Barang hilang boleh dikembalikan, tetapi masa yang berlalu , tiada gantinya. Seperti biasa perjumpaan dimulakan dahulu dengan tazkirah ringkas dari mana-mana ahli yang ingin berkongsi ilmu. Sejurus lafaz salam pengakhiran dari sahabat seperjuangan mereka, Hizamie yang menyampaikan butir-butir mutiara hikmah selesai, Fakhri memulakan perbincangan.

Kamarnya disinari beratusan skrin yang  memaparkan wajah sahabat-sahabatnya. Satu persatu wajah sahabat muslimin dilihatnya dan dihadiakan senyuman, yang muslimat lengkap bertudung litup hanya sekadar menundukkan kepala ,tanda memberi salam hormat. “Ana bukan berniat untuk mengganggu di lewat malam ini, tetapi ana telah mendapat makluman daripada ayah ana bahawa kerajaan sudah bersiap-siaga mahu melancarkan kempen ‘Gemilangkan  Remaja’. Seperti yang kita maklum ayah ana merupakan salah seorang daripada ahli tertinggi Gerakan Islamic Cluster (GIC) yang dihantar menjadi perisik dalam urusan kerajaan. Biarpun program ini kelihatan sebagai sebuah program yang mencipta wawasan dalam kalangan remaja, tetapi agenda sebenarnya ialah untuk meminimumkan benih kesedaran membaca di kalangan remaja.” Ucapan awal ketua memeranjatkan segenap saraf ahli GIYC. Bagaimana halnya nanti jika buku-buku tidak lagi dijadikan  tatapan remaja sedangkan ianya punca ilmu dicedok. Tetiba suara salah seorang muslimat memecah keharuan. “ Ana rasa bukan lagi saatnya kita terus berjuang dalam senyap. Ana rasa ini detiknya kita bertukar angin daripada metod perjuangan ibu bapa kita yang menjadi barisan dalam GIC.  Mereka telah menanam bekal sejak dari bangku pengajian lagi buat kita menabur bakti dalam jalan juang ini. Ana rasa tema reformasi yang dicetuskan saudara Fakhri menjadi baja buat kita untuk berjuang! Ana sudah tidak sanggup lagi melihat anak muda sebaya kita terkinja-kinja, terawang dalam mimpi indah sementara mereka. Berapa ramai yang kenal  Tuhan, berapa ramai yang kenal kain sejadah, berapa ramai yang mengisi masanya bersama kitab mukjizat terakhir nabi Allah?”kata-katanya tersekat menahan sebak. “Ada benarnya bicara saudari Hafizah itu wahai saudaraku ,Fakhri. Ana dan juga adik ana, Nasri juga baru sahaja bersama-sama talaqqiy ilmu bersama datuk kami, Professor Syeikh Mujahid. Di akhir kalamnya hari ini dia menegaskan pada kami dan juga berpesan menyebarkannya pada antum bahawa Leaders are Readers tetapi ana terasa begitu terkejut menerima laporan dari ayah enta.”Faiz meluahkan bungkam di hati. Fakhri kembali bersuara, “ Ana tidak dapat menjangkakan keburukan dan kehancuran yang bakal berlaku sebagai kesinambungan program ini nanti. Pada mulanya ana berasa gembira dengan perubahan Negara dengan langkah untuk melestarikan pembangunan dalam jiwa remaja, tetapi hancur hati tatkala mendengar agenda yang tersembunyi. Ibu ana, hanya meluahkan sepatah bicara kesal. Katanya tidak sangka cerita khayalan novel kajiannya, Farenheit 451 karya Ryan Bradbury menjadi seperti realiti. Ana bingung kenapa buku mahu dilupuskan dalam pusara derita sedangkan ianya lubuk emas akal manusia!” terpancar riak wajah yang bersungguh-sungguh  lantas menyebarkan semangat dalam jiwa-jiwa anak muda. Lafaz akhir ucapannya disambut kalimah takbir ,mengagungkan kalimah suci.

***

Kelas Usuluddin selesai. Rata-rata teman seperjuangan Fakhri meneruskan pelajaran peringkat tertinggi di benua lain. Yang cenderung ke arah keagamaan, ke timur tengah manakala yang berminat terhadap sains bermusafir ke barat dunia. Tiada yang mustahil untuk dilakukan. Kenderaan berkelajuan tinggi tanpa menggunakan emas hitam bumi yang direka oleh sainstis -sainstis Negara tidak dipersiakan untuk kebaikan. Biarpun teknologi satelit yang dibanggakan kerajaan mampu mengesan semua tindak tanduk manusia, namun kelincahan akal sainstis berjenama GIC mampu mereka alat yang dapat melindungi kenderaan anak-anak muda yang tekun menuntut ilmu ke tempat lain tanpa dikesan oleh kerajaan. Fakhri menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pesawat yang dipandunya dikurangkan kelajuan. Dia tidak mahu cepat sampai kerumah. Biarlah dirinya tenang berfikir dalam panorama awan yang memutih. Patah-patah perkataan mutiara yang keluar dari bibir professor Syeikh Sirajuddin ,ulama Negara yang berhijrah ke tanah Arab selepas rentak pemerintahan bertukar wajah itu diingatinya satu persatu. Selepas itu, wajah mulus si gadis pejuang Islam,Nur Sumayyah seakan-akan melahirkan kembali srikandi sehebat Sumayyah di zaman Nabi Allah jua bertandang, namun segera ditepisnya.  “ Ini bukan masanya lagi aku memikirkan soal hati dan perasaan. Masalah umat berada di depan mataku! Apa benar pelan  tindakan baru untuk melakukan reformasi bakal dilaksanakan demi menyelamatkan berlian-berlian yang bakal dirosakkan oleh pihak yang tiada sifat pandang ke depan? Ya Allah, berikanlah kami ilham.”

***

“Atuk dahulu menentang cadangan ayah kamu untuk menubuhkan gerakan ini. Dalam kepala atuk, atuk hanya mahu anak atuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan dapat menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan. Atuk langsung tidak memikirkan hal sekeliling yang melingkari kehidupan. Namun atuk sedar, kita tidak boleh memandang lesu kebejatan sosial yang melanda Negara kita. Nenek kamu tidak menentang tindakan ayah kamu, malah menggalaknnya lagi. Nenek kamu berjiwa suci. Dia mampu memandang jauh dunia pada masa hadapan. Dia baik. Tapi sayang nyawanya tidak panjang untuk melihat kamu, cucunda yang seorang ini.” Panjang bicara atuk sambil tangannya memegang butir tasbih kayu kokka tinggalan arwah isterinya, Assarah. Bibirnya menggariskan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya yang semakin hari, semakin menunjukkan raut tuanya. Fakhri  mengangguk faham, membalas senyuman tanpa berbicara panjang. Ruang keluarga yang dicat hijau kekuningan itu menyaksikan lagi hubungan yang erat keluarga pejuang ini. “ Ayah tiada hiburan untuk dicari, tetapi kehadiran kamu dalam medan ini menerbitkan rasa bangga, gembira dan melakarkan lukisan bahagia ibu dan ayah.Fakhri,  pada mulanya pergerakan ini bergerak bebas, namun kekuatan kami bukanlah sekukuh tembok China yang masih utuh berpasak di bumi untuk menghalang tentangan orang atasan. Lantas kami berpura-pura lumpuh dan meneruskan pelajaran sehingga kami mampu meneroka seperti sekarang. Kami tahu, masa hadapan adalah yang utama. Inilah tunas-tunas yang tumbuh selepas baja kesabaran kami. Bergerak dalam sepi tapi siapa tahu ada duri ditaburnya.”dalam makna yang tersirat. Fakhri cuba merenung patah-patah perkataan itu.

***

“Salam wawasan gagasan gemilang.

Perhatian kepada semua remaja yang berusia 13 hingga 20 tahun, anda diminta mendaftarkan diri di Dataran Expertise pada jam 8 malam,minggu hadapan .Tiada sesiapa dibenarkan diberikan pengecualian daripada mengikuti program kempen ‘Gemilangkan  Remaja’. Arahan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Remaja .”

Skrin besar televisyen  ditutup. Matanya dipejam rapat. Bukan mudah menjadi seorang ketua. Pelbagai hasil perbincangan menjadi sandaran dalam memutuskan keputusan. Segala gerak kerja disusun kemas. Ya Rabbi, bantulah kami.Doa kudus dipanjatkannya. Atmosfera bumi bertukar warna. Malam menjengah kembali. Encik Naim dan Puan Ratu segera meminta Fakhri bersiap menunaikan solat magrib berjemaah. Pasangan yang menemui jodoh dalam bersama-sama menempuh ujian dalam perjuangan itu bahagia,meski anak yang dikurniakan Ilahi hanya seorang.Usai solat Maghrib diselesaikan, mereka berempat terbang laju menuju pusat perkumpulan gerakan mereka. Tempat itu , bertentangan lautan yang memukau pandangan mata. Biarpun tempat itu strategik di tengah-tengah bandar persisiran lautan itu, namun ia hanyalah laksana sebuah hotel betaraf bintang Zeta Orionis pada pandangan mata manusia yang bukan berada di bawah naungan GIC. Sistemnya yang telah dinaiktarafkan mampu mengaburi mata dan pusat kawalan kerajaan.Tempat inilah dijadikan pusat perjumpaan mega , sambutan hari raya, solat jumaat , akad nikah dan sebagainya.

Perkarangan pusat GIC dipenuhi oleh jiwa-jiwa manusia yang inginkan dunia kembali kepada fitrah. Inilah perjumpaan mingguan yang diadakan agar hati yang bertaut masih terjaga dan dipintal kuat dalam rantaian perjuangan suci. Solat sunat hajat diimami Ustaz Syifa’ berlagu syahdu meruntunkan roh yang mendengar. Bait bicara kalam Allah yang dipetik dari surah at Taubah,ayat 38 hingga 42 membumikan kembali semangat pejuang yang kadang kalanya terawang-awang . Qunut nazilah lantang dibaca, kembali menyedarkan urat saraf bahawa tanggungjawab yang mesti dipikul harus di bawa dengan jayanya.

***

Ucapan ketua tertinggi , Encik Naim mengisi setiap ruang dan ceruk pusat GIC.  Amanat demi amanat di sampaikan kepada barisan GIC sendiri mahupun GIYC.  Baris katanya ringkas dan padat , membiarkan akal cepat menghadam segala butir bicaranya. Kalimah-kalimah ayat suci dilafaznya tenang dalam ucapan semangat beliau.

“Jika boleh cecair semangat juang itu disuntik dan terus mengalir dalam badan manusia, nescaya ramai yang ikut bersama kita tika dahulu. Namun, ianya mustahil dilakukan. Mana mungkin darah panas sang anak muda dicaskan sesenang itu.Mana mungkin jiwa keseronokkan remaja dilenyapkan terus daripada mengisi pundak hati. Tarbiyah dan mehnah berkejaran bertamu pergi. Namun aku bersyukur di sini, sahabat-sahabiahku.Semuanya berkat kesabaran kita bersabar, bergerak dalam diam tapi bisa menggegar  samudera zaman.Bukan kita ini penakut, tetapi inilah cara kita bagi terus memastikan kelangsungan dakwah. Masih lagi ana teringat, bagaimana jerih perih kita menghadapi cabaran sewaktu zaman pengajian dahulu. Getir sekali, namun inilah jalan kita buat masa ini. Lihatlah diri kita dan anak-anak kita yang telah dicanting oleh tangan-tangan kalian. Tidakkah kalian berbangga? Dalam kemelutan ibu bapa lain menguruskan jiwa remaja yang tidak memahami apa itu erti kehidupan sebenar, anak-anak kita mampu berdiri sendiri mencipta jaya dan yang pentingnya Islam masih di hati mereka! Takbir!!” lafaz Allah Akbar menjadi saksi kekentalan semangat mereka yang tidak pernah pudar.  Sejurus ucapan si ayah, anaknya mengambil alih. Benar kata pujangga Melayu, mana tidak tumpahnya lauk , kalau tidak ke nasi.

“ Ana ingin sekali memetik kata-kata novelis terkenal abad 21, Ustaz al Hafiz yang berada di sebelah ayahanda ana. Kata-katanya yang berjaya menyentuh kalbu ana coretkannya di kanvas minda.Aku bukan ulama’ muktabar, yang butir kalimahnya mampu menusuk dada. Aku bukan para habib dan tariqiyyi, yang perilakunya mampu menginjak paradigma manusia. Aku bukan kiai ilmuwan, yang fikirannya mampu menerjah logik minda. Aku bukan kiai Tunggulwulung  yakni Pemegang bendera pusaka istana Jogjakarta, yang gagah perkasa menabur gugah kerana istana. Aku bukan soldadu mukafih Palestina, yang membayangi syahid di depan mata. Aku bukan seteru agama, yang duri, sekam dan haprak terhadap agama sendiri.Aku cuma insan biasa, pelajar samudera, penulis bayang panorama, penghuni sesawang maya, pencari ilmu agama. Paling tidak, aku ingin menjadi seni sarang labah-labah agama, yang menyarang di pintu Gua Hira. Bicara ana ini, bukannya berniat mahu merentap masa encik-encik dan puan-puan serta sahabat-sahabiah sekalian, tetapi di sini ,diri ini mewakili GIYC mahu menyatakan kami ingin melakukan anjakan paradigm dalam generasi kami. Meski kami masih setahun jagung meniti zaman ini, tapi kami berharap, ibu bapa pencetus gerakan ini merestui hasil perbincangan kami dan juga diiringi tunjuk ajar. Tiada langsung niat di hati untuk berpaling daripada cara kalian mencorak jalan perjuangan, tetapi kini zaman mendepani krisis amat mencabar dan dunia mengalami perubahan dan bagi kami , tiada salah kami juga turut bertukar rentak dan cara selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat dan tuntutan.” Dewan perbincangan sunyi sepi namun bahang perjuangan panas membara.

****

Suasana di perkarangan di dataran Expertise bertukar corak. Deretan pesawat-pesawat pelbagai bentuk dan tahap teknologi transformasi zaman menghiasi sekitar dataran. Dahulunya ,kata datuk kawasan ini pernah menjadi tempat berlakunya rusuhan yang menghalang isu keterlampauan modenisasi Barat yang menjadi kegilaan akal tampuk pemerintahan. Bukan dihalangnya arus zaman berlalu, tetapi tempias bahana al-Wahn , cintakan dunia sudah memeluk manusia tatkala itu apatah lagi rantaiannya pada masa hadapan?. Ah adakah bakal tercetusnya lagi peristiwa bersejarah itu?Pelbagai ragam remaja mengisi setiap ruang. Satu kerugian amat besar dirasakan. Mereka ini bukannya bodoh tetapi sudah jauh dilarikan kerohanian oleh penculik berjiwa kosong, malap! Remaja yang sepatutnya menjadi aset berguna untuk kegemilangan masa depan, sewenang-wenangnya dijadikan laksana tikus ujikaji di pentas sebenar.

“ Anak-anakku sekalian. Apa khabar? Moga dirimu segar dalam kemajuan teknologi yang membanjiri kita sekarang. Anak-anakku, ayahanda tidak mahu berbicara panjang pada hari ini kerana ayahanda tahu, program hiburan baru sudah dilancarkan.” Lancar tutur kata ketua Negara, berbicara menggunakan pendekatan psikologi ; ilmu yang sudah dibuang dari sistem pendidikan Negara.Sengaja menggunakan perkataan ‘ayahanda’  untuk memancing hati remaja.Tepukan dan sorakan gembira bercantum dengan zarah-zarah udara “ Biarlah ayahanda meluahkan perasaan kasih dan sayang kepada anakanda sekalian. Dahulu , kami pernah merasa susah dengan kedhaifan Negara bersaing menempatkan diri bersama-sama gagasan Negara maju. Nah sekarang.Lihatlah! Usaha kami bukanlah sia-sia dan percuma. Ayahanda tidak mahu lagi anakanda berlama-lamaan menelaah buku-buku yang tiada guna itu! Ilmu yang sudah diajarkan di sekolah itu sudah cukup dan memadai untuk kamu. Hiburkanlah diri kamu wahai anakanda..”Senyuman sinis dilemparkan kepada hadirin yang hadir, terdiam. Lagu yang mengkhayalkan dipasang.

Ahli GIYC mendengarnya bagaikan hempedu yang dipaksa telan ke rongga kerongkong. Pahit untuk ditelan. Bagaikan halilintar memanah jiwa. Kemana hilangnya akal sang pemimpin, membiarkan jiwa anak bangsa dirobek ilmu songsang ciptaan sendiri? Atma-atma intifadha terbit serta-merta dalam jiwa si pemuda-pemuda yang inginkan kebebasan berdiri sendiri tanpa pautan akar berserabut si pemimpin yang sudah berjaya diubah mentalitinya.

Aku tidak boleh terdiam lagi. Sahabat, kita tidak boleh berdiam diri lagi..

Serentak semua ahli mengangguk faham. Mesej dari ketua serta merta sampai dalam alat khas yang direka khas untuk memudahkan jalan kerja mereka. Barisan Muslimat yang bersembunyi di rumah masing-masing turut menerima makluman. Mereka tidak diarahkan untuk turut serta kerana bimbang perwatakan mereka yang masih terpelihara berbanding remaja perempuan yang sudah hilang identiti wanita zaman sebelumnya dikecam. Butang-butang ditekan pantas. Papan kekunci di selaraskan seperti rancangan. Mereka hanya menunggu detik.

Fakhri bingkas bangun dari tempat duduknya. Entah dari mana kekuatan membantunya tegak berdiri. Lantang suaranya mengalahkan ucapan ketua Negara. Lafaz kalimah Tuhan yang terpacul dari bibirnya mengejutkan riak menteri-menteri. Mungkin kerana mereka menganggap remaja sebegitu tidak lagi wujud dalam zaman ini dan segala propaganda mereka langsai tertunai.

“ Saya berdiri, bukanlah untuk berlaku biadap terhadap Tuan, tetapi jika pihak Tuan sendiri sudah biadap dengan kami, apa salah kami membalasnya bukan? Apa erti kesenangan yang Tuan limpahkan kepada kami yang pada hakikatnya semua kurniaan Tuhan? Tuan lupa kepada kepayahan hidup disebabkan kesenangan sementara ini. Hilangnya sensitiviti ingin melihat anak bangsa maju secara benar memaksa Tuan bertindak tanpa berfikir! Apakah Tuan ingin membiarkan kami terus diperbodohkan, menjadi seperti ayam di reban, yang diambil hasilnya tanpa henti dan disembelih tatkala tidak diperlukan lagi? Anda silap! Kami masih bernyawa. Selagi darah ini masih mengalir, selagi itulah rantaian perjuangan suci ini akan terus menyelusuri zaman. Kenapa berjual-beli  zaman hadapan anak bangsa demi kesenangan kalian. Kenapa mesti berkerjasama dengan musuh durjana untuk memewahkan diri kalian!? Kami tidak menghalang berlakunya kemajuan asalkan ia masih tidak menyimpang dari ajaran sebenar.”

Ucapannya terhenti tatkala cip yang tersembunyi pada sisi kacamatanya menerima isyarat gelombang Zinglore yang dituju ke arahnya. Badan tegap yang diwarisi dari ayahnya itu segera melompat turun,mengelak.

Dush!

Ranap dinding di kiri dataran itu musnah. Suasana sepi bertukar tegang! Ya Allah, bantulah kami.Muka para menteri merah padam. Sangkaan remaja yang petah berkata-kata itu menemui ajal meleset.Jiwa sebegini harus dihancurkan! Tentera yang baharu datang dari markasnya siap bersenjata canggih. Mereka tanpa belas cuba menangkap remaja-remaja ini. Namun cubaan demi cubaan tidak berjaya. Sistem perlindungan telah diaktifkan. Tembakan laser tidak mampu menembusi cahaya yang melingkari mereka. Pagar perlindungan cahaya itu diciptakan khas buat DNA pemuda-pemudi. Himpunan yang tidak disertai oleh golongan ibu bapa ini nyata memberikan peluang baik teknologi ini digunakan.  Jasad manusia yang berumur dewasa tidak dapat memasuki kawasan lindungan.Faiz dan Hizamie berteriak kuat meminta semua anak-anak muda yang hadir memasuki kawasan perlindungan tanpa mengira fahaman dan budaya mereka.

Remaja perempuan yang hadir menangis ketakutan manakala yang lelaki bingung tidak berkata-kata. Di luar lingkaran perlindungan, jentera teknologi kerajaan masih bertungkus-lumus memecahkan halangan dan para saintis muda yang diketuai Aiman berkerjasama menstabilkan lingkaran perlindungan agar tidak lemah dihujani serangan musuh. Fakhri cuba menenteramkan keadaan. Diajakknya berfikir sejenak hakikat diri dalam kegawatan keadaan. Mereka semua terdiam bisu mendengar. Seperti bayi yang masih tidak mengerti apa-apa.

Bunyi hentaman kuat menggemparkan suasana. Kelihatan jet-jet pejuang bercalitkan tulisan Allah bersama kami  bertebaran di ruang angkasa. Lafaz kalimah takbir bergema gemilang. Semangat kembali bersinar. Nyata perempuan bukan hanya layak berada di ceruk dapur, tetapi mampu  menabur bakti di medan juang. Arahan menyerah kalah di berikan. Suara Umairah menerjah ke setiap cuping telinga menteri-menteri yang selama ini bongkak mengatur arahan. Seorang lagi mujahidah yang terkenal dengan kehebatannya mengendalikan pesawat, Nuaiemah membaling bola Zaphhire yang mengandungi asap yang mampu memberi kesan pengsan sementara kearah menteri-menteri yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.Punat-punat alat di tangan ketua menteri ditekan-tekan. Namun tiada maklum balas.

..::SISTEM DIMATIKAN::..

Merah padam muka berganti pucat ketakutan. Teknologi yang dibanggakan kini dilumpuhkan oleh teknologi ciptaan remaja belasan tahun. Bantuan daripada barisan veteran GIC yang bekerja di pusat kawalan kerajaan sudah mengambil alih sistem. Satu persatu askar yang diharapkan membantu insan berjiwa kecil ini berjaya di tawan. Jet-jet pejuang GIYC dan GIC yang melingkari kawasan memancarkan dari atas , panahan Guard Rigid yang berjaya memerangkap jasad-jasad racun Negara ini . Bantuan yang juga diharapkan diterima daripada Negara bersekutu juga tidak kunjung tiba.Lantas mereka baru menyedari apa ertinya bergantung pada musuh semata-mata  untuk mengayakan poket sendiri. Kosong!

****

Program pengislahan berlangsung. Kelibat anggota GIC dan GIYC memenuhi ceruk Negara. Menabur budi melakukan program pencerahan jiwa selepas dinodai kotoran dunia selama ini. Ulama-ulama yang keluar berhijrah ke Negara asing pulang melaksanakan tanggungjawab di tanah air tercinta. Senyuman jelas kelihatan di bibir pejuang agama. Penat lelah selama ini terbayar. Pentadbiran Negara diambil oleh hierarki GIC.  Ustaz al Hafiz kembali menyusun aksara dalam mindanya yang sudah lama ditinggalkannya bidang itu. “Benarlah jiwa pemuda-pemudi ini tidak dapat dipandang enteng. Sekali bersuara, menggegarkan sanubari. Sekali bertindak, mampu merubah dunia!” kata-kata itu mengakhiri helaian buku barunya. Buku-buku kembali dicetak agar roh ilmu itu kembali dilahirkan di bumi bertuah ini. Anak-anak kecil sudah diserap masuk , dididik dengan cara GIC membentuk pendidikan. Si dewasa, warga tua kembali berjinak-jinak ke masjid.Anak-anak muda yang dahulunya lalai dalam keasyikan duniawi kini berubah rentak hidup.Mereka sudah semakin berani ke hadapan mengaut sebanyak mana ilmu. Tiada lagi siulan nyanyian yang melalaikan bahkan diganti zikir mengingatiNya dan alunan ayat suci dan azan kembali menyapa langit dan angkasa. Jasad-jasad  berohkan haprak yang ditawan dipaksa mengikuti program kesucian diri dan rohani agar terbit rasa keinsafan dalam diri sebelum ajal maut menjemput pergi.  Biarkan dipaksa dahulu agar hati yang keras bisa dilenturkan.

***

Sejadah yang direntangkan dilipat. Kayu kokka di tangannya ditenung dalam. Seketika, air matanya bercucuran mencium pipi tapi pantas diseka jari yang lembut. Suasana bertukar hening. Fakhri kembali mengukir senyuman apabila melihat wajah di hadapannya seperti terpinga-pinga. Mungkin tertanya-tanya kenapa pemilik  jiwa yang kental itu mampu mengalirkan air mata tiba – tiba. “Nur Sumayyah, jangan kau hairan melihatku mengalirkan air mata. Aku tidak mahu menjadi lelaki yang ego tidak bertempat. Air mata ini tanda kesyukuran kau sah menjadi suri hatiku dan menangisi pemergian datukku. Dia tidak sempat melihat diriku menjadi pemimpin seperti hari ini. Itulah yang diimpinya. Sewaktu ku kecil, dia selalu mengusapi ubun-ubunku dan mendoakan diriku menjadi seorang pemimpin pabila dewasa. Doanya dimakbulkan. Tanpa dia yang mencoretkan jiwa bapaku, tanpa mereka yang membentuk diriku, tidak mungkin diriku berada di sini.” Air matanya tumpah lagi. Hari ini ayahnya meletakkan jawatan sebagai pemimpin Negara kerana mengatakan sudah saatnya melihat jiwa pemuda melestarikan pembangunan modal insan dalam kemeriahan pembangunan duniawi. “Jangan hanya memandang dunia seperti kamu yang punya,bersederhanalah” ,kata-kata bapanya disemat rapi…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

30 days in searching.

Dalam resah hati yang menjelira,saya mengharapkan sisa Ramadan yang masih berbaki membuahkan benih-benih CINTA kembali.

Seeking for love and rejoice,

I’m climbing the stairs of the world,

Carving name along the journey,

Holding this world passionately,

And I feel so satisfy.

But do I realize,

I’m just constructing a useless exertion,

Making a huge dream in this dimension,

Peg a strong fantasy in a mirage,

How many I’m collecting,

It’s still not enough.

Where the serenity and peace?

Even the light of fame escorting me,

I’m still in darkness,

Empty and desolate.

Here,

I’m halting in conscious,

Remembering my past convention,

Everything is just for a while,

Is He forgives me?

Is Allah looks at me?

Is Allah loves me?

I’m counting the days,

Along this Ramadan,

May this 30 days,

Brings true love and tranquility,

Before my ship moves to the next destination..

kalam buat ayahanda

Puisi ini khas buat ayahanda yang tersayang. Diri ini sangat merindui dirinya yang sentiasa menjadi inspirasi buatku. Aku tumpahkan rasa sayang dan kasih buatnya. Biarpun kata-kata ini bukanlah setepatnya luahan hatiku buatnya, tetapi izinkan aku menumpahkannya jua biarpun sekelumit cuma.

Pernah,
Aku kecewa dengan diriku,
Aku kecewa dengan takdir,
Aku kecewa dengan hidupku..

Pernah,
Aku tangisi segala yang tersurat,
Aku merintih segala yang tersirat.

Namun..
Dalam kelam hatiku,
Dalam resah garisahku,
Dalam luka jiwaku,
Ada yang menenangkan,
Tiada pujuk rayu yang diberikan,
Cuma usapan kasih,
Dan ucapan sabar dibekalkan,

Ya..
Sabar!
Hanya itu yang mujarab buatku,
Dari bibir seorang insan yang ikhlas,
Dari doa kudus seorang insan yang penyayang..
Aku bangkit melangkah,
Menuju bianglala kehidupan,
Setelah lebatnya hujan,
Yang meragut mentariku..

SELAMAT HARI LAHIR AYAHANDA

origami cinta

Matahari sudah tegak berdiri di langit biru. Jasanya telah lama ditabur semenjak alam ini diciptakan daripada satu letupan besar yang menghasilkan gas-gas dan atom yang telah berkembang membentuk jagat raya. Kehadirannya di atas sana menyaksikan secara diam kelibat manusia yang menguruskan hal kehidupan seharian dan bila malam menjengah, sahabatnya bulan berganti saksi.

Di satu sudut alam, kelihatan seorang lelaki yang setia menunggu sang anak pulang dari sekolah dengan raut wajah yang agak keletihan. Mungkin dek kerja yang tergalas di bahu ataupun menahan terik mentari yang agak menikam sekarang. Dia duduk bersandar melepaskan lelah di dalam keretanya yang diparkir bersebelahan pagar sekolah. Bukannya dia tidak mahu melepaskan anaknya yang sudah mencapai umur 12 tahun itu pulang bersama dengan teman-teman menaiki bas, tetapi fenomena kebejatan kes jenayah menyimpul mati hatinya untuk memberi kebenaran. Biarlah dia berpenat lelah berulang-alik dari rumah dan tempat kerja asalkan darah dagingnya selamat.

Keripuhan anak-anak kecil pra sekolah, darjah 1,2 dan 3 keluar dari perut bangunan sekolah bersama tawa dan riang mereka membawa dirinya terbang ke dalam atmosfera zamannya bersekolah dahulu. Sama seperti mereka, lincah berlari bersama teman-teman tatkala mendengar loceng tamat persekolahan berbunyi. Segalanya indah!

Lelaki itu senyum kembali. Kenangan lama kembali bertandang. Dia tidaklah dijemput sebegitu sewaktu bersekolah dahulu. Basikal hitam yang dihadiahi datuk daripada wang hasil tuaian padi menjadi peneman setianya pergi dan pulang dari tempat menuntut ilmu. Biasanya selepas menghadiri kelas tambahan pada waktu petang, dia akan berlumba basikal bersama teman-teman dan singgah sebentar di Gerai Pak Man membeli air batu campur untuk menghilangkan dahaga.

****

“Man, petang ni kita pergi memancing kat lombong hujung kampung ya?”

“Bagus juga. Aku pun sudah lama tak memancing. Manalah tahu dapat ikan sepat, keli dan tilapia. Bolehlah mak aku buat gulai.” Kecur air liurnya membayangkan gulai ikan yang enak dimakan bersama nasi beras baharu yang panas bersama daun ulam raja. Jika ada rezeki lebih daripada pohon di belakang rumah, bolehlah buat kerabu mangga.

“Baik. Petang nanti, selepas mengaji aku jumpa kau kat simpang tiga, tempat biasa.” Poji beredar meninggalkan perkarangan rumah kayunya. Poji sememangnya teman rapat Man. Dia lebih selesa memanggilnya sebegitu meskipun nama Poji yang sebenar adalah Fauzi. Ini semua gara-gara adik Poji yang pelat untuk menyebut namanya dan setelah itu, namanya Poji menjadi sinonim buat teman baiknya itu.

Setelah mendapat keizinan daripada ibunya untuk pergi memancing, dia menuruni anak tangga mendapatkan basikal dan mengayuhnya menuju ke tempat perjanjian. Senyum dilirikkan di bibir masing-masing. Mereka membayangkan ikan-ikan yang akan ditangkap. Sengaja mereka mahu mengubah angin memancing di kawasan lombong. Mana tahu, ia lebih menyeronokkan daripada mencari belut di petak sawah , memukah ikan di sungai, atau memanjat pokok rambutan dan rambai. Mereka meneruskan perjalanan dengan menyanyi lagu-lagu gembira.

“Poji, ada hantu tak kat sini?” Man meluahkan perasaan di hati. Dia memandang suasana sekeliling yang menghijau dan sunyi. Sesekali, terdengar bunyi angin yang berdesir melalui celahan pohon-pohon buluh lantas menghasilkan satu bunyi yang agak menyeramkan jiwa mereka yang masih keanak-anakkan.

“Kau jangan nak merapu boleh tak? Siang hari mana ada hantu.” Poji membuat tidak endah. Dia sebetulnya malas untuk melayan perasaannya yang juga bertandang. Di fikirannya , dia hanya mahu mendapatkan ikan. Kata jirannya, Abang Mail, lombong itu adalah lubuk ikan.

Man dan Poji, masing-masing duduk di atas busut yang terdapat di tepi lombong. Mereka mencangkukkan umpan cacing pada mata kail dan mula memancing. Selang beberapa ketika, umpan mengena. Rezeki memang menyebelahi mereka.

Lelaki itu tersenyum puas. Kenangan zaman kanak-kanaknya memang indah. Di fikir-fikirkannya, mungkin tiada lagi saat-saat itu diulang oleh anak-anak yang membesar dalam zaman atom ini. Dia memandang kembali jam yang terpapar. Man sendiri bingung kenapa hari itu terlalu awal dia datang untuk menjemput anaknya. Penjaja jalanan sibuk melayan permintaan anak-anak kecil yang mahu membeli. Ada yang menjual air sejuk, aiskrim, keropok dan yang menarik perhatiannya, rojak buah. Buah-buahan seperti jambu batu, betik dan mangga. Ya mangga! Fikirannya menerewang lagi.

***

“Poji, jom balik. Dah lewat petang ni. Aku ta..”

“Ta apa? Takut? Kau ni, nampak sahaja hero, tapi penakut !” Poji memuntahkan tawa. Mereka lekas berkemas. Senja mula mengambil alih waktu. Burung-burung yang berterbangan cantik tersusun di angkasa yang keperangan. Ikan-ikan yang diperolehi diikat bersama dan digantung pada sisi basikal. Mereka pulang ke rumah masing-masing dalam hati yang girang gembira. Anak-anak kecil seperti mereka ternyata sudah puas menerima rezeki sebegitu kerana ianya adalah swakarya mereka.

Sampai di simpang tiga yang menjadi jalan pemisah mereka, Man dan Poji masing-masing membelok ke arah jalan rumah mereka. Man meneruskan kayuhannya. Dia melewati jalan di sepanjang sawah. Masih ada lagi petani yang berada di situ, mengetam padi. Kemudian dia melalui sebuah dusun buah-buahan. Dia mendongak ke atas,melihat rimbunan buah mangga yang sudah masak ranum. Seketika, telinganya menangkap satu suara yang seakan-akan menangis. Sayup-sayup kedengaran. Man menarik brek basikalnya serta merta.

“Siapa pula yang menangis kat dalam dusun ni?” Man bermonolog sendirian sambil menggosok-gosok lengannya. Matanya melilau punca suara yang kedengaran. “Hantu ke?” serentak dengan itu, bulu roma leher dan lengannya tegak berdiri. Man langkah seribu dari tempatnya berhenti. Lama kelamaan, suara itu makin kuat. Perasaan takut makin mendalam. Semua ayat al Quran yang dipelajari daripada Tok Li dibacanya dengan harapan ketakutan itu dapat diatasi.

Kayuhannya terhenti lagi. Matanya menangkap satu susuk tubuh yang terduduk di tepi pohon mangga. Rambutnya lurus, panjang mengurai dan berbaju kurung putih. Man tergamam. Namun entah dari mana kekuatannya datang untuk menegur perempuan itu. Basikalnya disandarkan pada pokok manggis yang juga berbuah sama.

“Awak, kenapa meraung kuat-kuat dalam dusun ni?” Gadis kecil molek itu menoleh ke arahnya dengan mata yang kemerahan dek terlalu banyak menangis. Alhamdulillah, manusia rupanya, getus hati Man. Dia berlagak tenang.

“Sakit..” hanya sepatah itu dijawabnya. Suaranya tersedu-sedu. Rupa-rupanya, kaki budak itu terseliuh sewaktu mengutip buah mangga. Dia tidak dapat menahan kesakitan. Man berkira-kira umur budak perempuan itu. Dia menebaknya berumur setahun atau dua tahun lebih muda darinya.

“Adik, rumah kat mana? Jom abang hantarkan.” Man menghulurkan tangan untuk menolongnya. Dia membawanya pulang dengan basikal. Rupa-rupanya, perempuan itu anak ketua kampung, Encik Mustafa.

Tiba di perkarangan rumah ketua kampung, kelibat Encik Mustafa atau lebih mesra dipanggil Ayah Pa sedang khusyuk mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di kaki tangga rumanhya.

“Ayah Pa..Ayah Pa…” Man menjerit nama ketua kampung dan lantas ditoleh oleh orang tua itu. Dia yang sedang terbongkok-bongkok itu segera berdiri dan maju kearah Man. “Ayah Pa, saya jumpa anak Ayah Pa kat dusun.Dia terseliuh” Lelaki yang seperti terpinga-pinga itu mengangkat anaknya turun dari para basikal Man dan meletakkannya di sisinya.

“Man, terima kasih. Sekejap ya. Ayah Pa ambil pisang buat kau bawa pulang.”

“Ayah Pa, tak perlu susah-susah. Saya nak cepat ni. Lagipun dah lewat petang. Lain kali sahaja ya!” dia segera beredar dari rumah kayu yang tersergam di tepi sungai dan dusun buah-buahan itu. Bukannya dia tidak mahu menerima pemberian Ayah Man, tetapi dia perlu bergegas sampai ke rumah sebelum ibunya berleter kerana pulang lambat.

***

Pagi menjelmakan diri bersama kokokan ayam yang menceriakan suasana desa permai. Bau sambal tumis ikan bilis menusuk ke dalam rongga hidungnya. Wah, nasi lemak! Perutnya lantas merengek untuk diisi. Man segera mencapai pinggan yang telah tersedia di atas meja makan. Selera budak-budak seusianya besar. Budak semakin membesar katakan. Dia mencedok nasi yang masih panas. Kerjanya cermat meski dia seorang anak lelaki.

“Mak, jom makan bersama. Eh, ayah pergi ke mana?” aroma nasi lemak air tangan ibunya amat membuka selera.

“Ayah pergi tolong datuk kat sawah awal pagi lagi. Kebetulan kerjanya dah selesai” Man mengangguk faham. Kerja ayahnya sebagai pendidik bertambah sibuk akhir-akhir ini dek terpaksa memeriksa kertas jawapan peperiksaan pelajar-pelajarnya. Man yang baharu sahaja bercuti selepas menduduki peperiksaan darjah enam melakar senyuman bangga dengan ayahnya.

“Mak, kenapa sebelum ni, Man tak pernah nampak anak Ayah Pa?”Man menyuap ke mulutnya sayur mentimun yang dimakan bersama nasi lemak.

“Siapa? Hadi ke Hidayah?”

Hidayah? Itu ke nama budak perempuan yang ditolongnya?

“Hadi, Man kenallah. Dia kan selalu teman Man pergi mencari belut kat sawah.”

“Belut ke lintah?” Tipah sengaja memperli anaknya.

“Erm, mak kenal Hidayah?” tidak dihiraukannya usikan ibu yang sedang membasuh pinggan mangkuk.

“Hidayah? Hidayah tu kan kembar Hadi. Tapi dia tinggal bersama ibu saudaranya di Terengganu semenjak masuk darjah satu. Jarang-jarang dia pulang ke kampung.” Ibunya masih tekun menyiapkan kerja di sinki. Sesekali dia menjengah ke luar rumah menerusi tingkap yang terkuak di hadapannya.

Kembar Hadi? Kenapa Hadi tidak pernah menceritakan tentang kembarnya sebelum ini? Mungkin kerana Hadi seorang yang agak lembab kerana mengalami kerencatan akal semenjak dilahirkan. Man meneruskan sarapannya. Air teh yang masih panas dicicipnya perlahan-lahan, bimbang lidahnya melecur. Dia sudah memahami petua ibunya yang membancuh teh. Tidak akan dicampurnya dengan air sejuk untuk mengekalkan aromanya.

“Assalamualaikum…. Assalamualaikum..” Lafaz salam bersahutan dari luar. Man yang baharu sahaja usai membasuh pinggannya, berlari menuju ke pintu rumah. Meninjau-ninjau siapa gerangan yang hadir. Dilihatnya, ibu sedang berbual mesra bersama seorang budak perempuan.

Hidayah!

Man merapati ibunya yang menerima beberapa sikat buah pisang Kelat Siam daripada Hidayah.

“Eh kenapa susah-susah bawa pisang ni? Kan saya dah bagitahu kat Ayah Pa semalam.” Man tersenyum ke arah Hidayah yang sopan berbaju kebaya longgar, berwarna merah jambu. Ayu!

“Tak mengapa. Rezeki jangan ditolak. Boleh Mak Cik Tipah buat goreng pisang petang nanti kan?”

Hidayah menyalami ibu Man sebelum beredar. “Dayah, tunggu.” Ibu Man bersuara. Hidayah terhenti langkahnya. “Ada apa Mak Cik?” “Biar Abang Man hantarkan kamu balik.” Man tersentak, tidak menyangka ibunya akan berkata sedemikian. Wanita itu menyiku anaknya yang masih tidak berganjak. Man menuruni tangga dan menuju ke arah basikalnya.

***

Sinar di horizon semakin cerah menerangi bumi. Matahari tersenyum memberi sapaan kepada makhluk-makhluk yang tekun mencari sebuah kehidupan. Embun-embun yang membasahi rumput dan dedaunan beransur hilang. Sawah yang menguning dek padi yang telah mencapai masa untuk dituai serta berlatar belakangkan pemandangan bukit bukau yang tegak terpasak di atas bumi memperikan simbiosis alam yang menarik dan menakjubkan.

Man mengayuh basikalnya perlahan-lahan, sedamai angin pagi. Jiwanya dibawa perasaan yang tidak dimengerti akannya. Dia cuba bersuara, tetapi kaku. Lidahnya kelu.

“Abang Man bijak kan? Sepupu Dayah ada bagitahu nama abang tersenarai pelajar yang cemerlang di sekolah” pertanyaan Hidayah menegur dirinya yang terdiam bisu.

“Eh, biasa-biasa sahaja.” Dia cuba untuk tidak menjawab persoalan sebegitu, bimbang dirinya terjerat dek perasaan bangga diri. Cikgu Azhar pernah berpesan kepadanya, biar setinggi mana kita dijulang dan dipuji, bersederhanalah. Segalanya bukan milik mutlak kita.

“Saya lemah dalam subjek Matematik. Asyik-asyik dapat B dan C. Saya ingatkan Abang Man boleh ajarkan saya sementara saya masih bercuti di sini.”ada nada rajuk di akhir kalamnya.

Man termenung seketika. Dia warawiri untuk menolong atau tidak. Akhirnya dia menerima. Lagipun, apa salah menyalurkan ilmu yang dia ada sebelum melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Dia meneruskan kayuhan bersama lirikan kegembiraan Hidayah.

***

“Bukan macam ni. Kalau soalan sebegini, Dayah kena bahagi dahulu, selepas itu baharulah lakukan operasi tolak.”dia menunjukkan cara-cara menyelesaikan soalan kertas 2.Hidayah terangguk-angguk faham. Sesekali dia menggigit hujung penselnya, bingung kerana tidak dapat menyelesaikan permasalahan.

Man duduk bersila disamping Hidayah yang bersimpuh di anjung rumah Ayah Pa. Hadi pula entah ke mana menghilang. Melastik burung agaknya. Bunyi aliran sungai berdekatan rumah Ayah Pa membuatkan garisahnya meridip nyaman. Berada dalam suasana kampung amat membahagiakan dirinya. Dia mengelusi kenikmatan tersebut sambil memberi tunjuk ajar kepada Hidayah. Proses pembelajaran mereka berlangsung hampir setiap hari di rumah Ayah Pa. Sememangnya orang tua itu sangat senang dengan kehadiran Man yang sentiasa menolongnya di dusun buah-buahan. Tambahan pula, dia sanggup mengajari anaknya. Burung-burung dan rama-rama yang terbang juga berlagu riang.

“Abang Man, esok Dayah akan pulang ke Terengganu.” Hidayah bercakap sambil memandang anak matanya. Man menundukkan wajahnya.Setelah itu, dia menoleh ke arah langit yang persih kebiruan dan melilau memerhati keadaan sekeliling rumah Ayah Pa. Dia tersenyum kembali.

“Sudah, tutup buku. Jom.”

“Nak ke mana?”

“Ikut sahajalah.” Man mendapatkan Ayah Pa meminta kebenaran. Biarpun umurnya masih rebung, namun adat sopan diamalkannya. Dia selalu dipesan oleh ayah dan ibunya supaya menjaga nama baik keluarga dan maruah diri.

***

Lelaki dewasa ini meraup wajahnya. Ah, kenangan demi kenangan datang menerpa. Anaknya masih belum pulang lagi. Masa tamat kelasnya masih berbaki 15 minit. Dia menekan butang ‘on’ radio. Berita semasa melaporkan dari corong stesen radio tempatan. Bola matanya melihat lagi keadaan sekeliling. Tiba-tiba hatinya berkeinginan sesuatu. Dia membuka pintu keretanya dan maju beberapa langkah ke hadapan, mengakrabi sebatang pokok yang tegak berdiri di sebelah pagar sekolah.

“Kita sudah sampai.”

“Abang Man nak buat apa kat sini?” Man tidak memperdulikan soalan Hidayah. Dia mencapai pelepah pokok kelapa yang rendah, bisa dicapai pada ketinggiannya ketika itu. Hidayah hanya memperhati tindakan lelaki itu. Dia sendiri mati akal melihat tingkah laku Man. Man melurut daun yang masih hijau. Diasingkannya lidi dan daun. Jari jemarinya pantas melipat-lipat daun itu dan dicucukkan lidi di tengah daun yang siap dilipatnya. Entah bagaimana dia melakukannya, Hidayah tidak sempat untuk menilik kaedahnya. “Abang Man tak ada hadiah mahal-mahal buat kenangan Dayah pulang ke Terengganu.Entah bila lagi kita boleh bertemu lagi”

Dia menghulurkan origami orang-orangan yang diperbuat daripada daun pokok kelapa. Dayah mencapainya. Kraftangan itu dipegangnya berhati-hati. Bimbang ia akan terburai lipatannya satu-persatu, tetapi hasil tangan Man kemas.

“Terima kasih Abang Man. Dayah suka.” Dia tersenyum comel sambil duduk di atas akar kayu yang besar, berselirat dan timbul di atas permukaan bumi. Langit kirmizi senja menjadi saksi detik perpisahan mereka.

Namun,persahabatan mereka tidak terhenti setakat hari itu. Surat sentiasa dilayangkan menjadi simbol diri yang menghargai sebuah pertemuan.

‘Abang Man, Dayah dapat markah paling tinggi dalam kelas untuk subjek Matematik. Cikgu senyum gembira melihat perubahan Dayah. Dayah nak ucap terima kasih yang tak terhingga buat Abang Man sebab susah payah mengajari Dayah. Moga kita berjumpa lagi nanti. Dayah nak jadi cemerlang macam Abang Man juga, dapat masuk sekolah berasrama penuh. Doakan Dayah ya! Salam penuh kesyukuran buatmu di sana.’

Man berjaya menyambung pelajaran di sekolah menengah berasrama penuh di Selatan Malaysia. Biarpun sibuk dan berada berjauhan, namun ikatan persahabatan mereka tetap utuh bersemadi dan mekar sentiasa. Setelah setahun berlalu, Dayah pula yang mendapat tawaran belajar di sekolah yang sama. Hubungan yang sudah dimaklumi akrab, kini lagaknya seperti isi dan kuku. Biarpun perasaan cinta dan sayang hadir dalam hati masing-masing, namun cita-cita lebih di utamakan daripada cinta. Biarlah kuasa cinta yang menghidupkan jalan menuju cita mereka.

Hari berganti hari, begitu juga tahun berganti tahun, pejam celik Man sudah menggapai ijazah dalam bidang kejuruteraan dan Dayah masih menuntut di maktab perguruan. Bukan kerana tidak berminat untuk menjadi mahasiswa di universiti, tetapi perasaan untuk mendidik anak bangsa menjadi keinginannya untuk digapai.

Kini lelaki itu gah menjadi salah seorang jurutera terkemuka di tanah air. Biarpun dahulu badan itulah yang bermandi lumpur, luka-luka memanjat pokok, tetapi bukan bermakna anak desa sepertinya tidak mampu mencapai jaya. Dia mematikan lamunannya dan kembali memasuki perut kereta Camrynya.

***

Pintu kereta bersebelahan tempat memandu dibuka. “Papa, dah lama tunggu ya?”

“Eh ,tidaklah.Nah, hadiah buat kamu.” Man menghulurkan patung orang-orangan yang diperbuat daripada daun kelapa, sama seperti yang pernah diberikan kepada Hidayah. “Cantik. Pandai papa buat.” Anak perempuannya tersenyum memberi pujian, menayangkan giginya yang putih, tersusun.

Mata Man melihat cermin sisi sebelum membelok ke kanan dan berlari laju mengendalikan kereta putihnya di atas jalan raya.

“Esya belajar apa hari ini?” soalan dimuntahkan memecahkan kesunyian.

“Hari ini, macam-macam Esya belajar. Lepas itu, cikgu ada tanya apa cita-cita Esya.” Anaknya menjawab pertanyaan sambil bermain-main bersama hasil tangan Man yang menarik perhatian anak kecil itu.

“Jadi, apa Esya jawab?”

“ Esya cakap, nak jadi cikgu. Boleh ke tak papa?”

***

Suasana perkarangan kampus sunyi dek para pelajar yang keluar ke Bandar, memenuhi cuti hujung minggu. Ada yang malas untuk keluar, tinggal di asrama menelaah pelajaran dan berehat-rehat, menyantaikan pemikiran. “Abang, masih awal lagi untuk Dayah terima.” Dia membetul-betulkan tudungnya. Sebenarnya dia masih kekok untuk bertudung, tetapi setelah dipujuk Man supaya berubah, dia akur. Bukan kerana dipaksa, tetapi merasakan kebenaran yang tidak lagi terlindung.

“Rasanya tak elok kita berterusan begini. Abang ada pendapatan tetap untuk menyara kehidupan kita. Dayah nak belajar, teruskan. Capai cita-cita. Abang tak halang.”

“Tapi, nanti apa pula kata ..”

“Kata siapa? Ayah dan Mak Dayah? Hidayah,sebenarnya Ayah Pa dan Mak Som sudah bersetuju. Mereka hanya menunggu keputusan Dayah.” Matanya merenung ke dalam mata Dayah. Mata itu cukup redup, cantik diserikan bersama bulu mata yang lentik.

Hanya sebulan berlalu,perkahwinan mereka berlangsung dalam situasi Hidayah yang masih berbaki satu tahun untuk menamatkan pelajaran. Seperti kata-kata Man dahulu, dia kotakannya. Segala sokongan diberikan kepada Hidayah dalam meneruskan pembelajaran.

Segalanya berjalan pantas, sepantas aliran air sungai yang maju ke muara.

Lagi 3 bulan, Hidayah bakal melahirkan anak pertama mereka. Tidak disangkanya bakal merangkul gelaran ibu pada usia muda. Peperiksaan akhir yang sudah berlalu sebulan menyenangkan dirinya. Dia yakin, cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik bakal terlaksana setelah bersalin nanti.

***

“Papa.. oo papa.. Boleh ke tak?”Esya mengulang-ulang soalan. Astaghfirullah, mujur tak terbabas. Dia meraup wajahnya yang banyak mengelamun. Satu persatu detik-detik kehidupannya hidup di lohong minda. Sejenak, matanya menakung air mata.

“Kenapa papa ni? Esya tanya ,tak jawab. Lepas tu, buat muka sedih pula” Esya mencebik. Rajuknya menceriakan hati Man. Dia ketawa kecil melihat telatah anaknya.

“Boleh. Papa sokong. Tunaikan harapan Mama yang tidak tercapai.” Tersekat-sekat suaranya berkata-kata.

“Mama? Mama pun nak jadi guru?”pandangan Esya dialihkan kearah ayahnya yang sedang memandu. Wajahnya saling tak tumpah seperti ibunya. Mata, hidungnya.. Semakin menginjak remaja, Esya banyak menerima warisan peribadi ibunya yang perawan.

***

Kelahiran cahaya mata menjadi penyeri kehidupan. Begitulah takdir Tuhan yang berkuasa menjadikan dan menemukan segalanya. Namun, Dialah juga yang memisahkan sebuah pertemuan.

“Abang, sempat ke Dayah tengok anak kita membesar ya? Sempat ke Dayah didik dia? Sempat ke Dayah jadi cikgu ya?” soalan yang bertalu-talu itu mengundang pandangan bingung Man terhadap isterinya. Dia lantas meletakan jari telunjuknya pada bibir Hidayah. Tidak mahu lagi dia mendengar bicara isterinya yang tidak dapat diterima telinganya.

Selang beberapa minggu daripada kelahiran Esya Qistina, badan Hidayah susut dengan mendadak. Selera makannya berkurang. Hancur berkecai hati tatkala menerima berita Hidayah sah menghidapi barah rahim. Pelbagai alternatif perubatan dicubanya, namun tatkala Tuhan telah menyatakan ianya pasti, maka segalanya akan menjadi kenyataan.

‘Walau aku senyum, bukannya aku gembira meninggalkanmu..Walau aku menangis, bukannya bererti aku sedih pergi menemui Tuhan.. Abang, coretan ini mungkin menjadi tatapan terakhir kenangan kita.

Abang, jangan menghukum Tuhan kerana menarik Dayah terlalu awal. Dia maha adil. Bukankah waktu yang telah dipinjamNya dahulu sejak kita masih kecil sehingga sekarang adalah saat yang bahagia?

Esya Qistina, abang didiklah dia sebaiknya. Hanya itu yang mampu Dayah tinggalkan sebagai peneman diri abang setelah pemergianku nanti. Jika perlu, abang carilah pengganti ibu buatnya. Maafkan segala dosa dan khilaf Dayah selama ini..”

Pen di tangannya terlucut dari pegangan. Belum sempat marsum itu diselesaikan, nafasnya terhenti dalam tenang. Warkah yang basah dengan air mata dan ditemani origami orang-orangan yang sudah perang warnanya menjadi peneman pemergian Hidayah.

“Tidak, abang akan setia padamu seorang.”

“Apa papa cakap?” Esya menggarukan kepala. Telinganya hanya mendengar samar-samar.

“Eh tak ada apa-apa.”Man cuba berselindung. Ingatannya kepada isteri tidak pernah padam dan kasihnya tidak pernah berkurangan meski telah dipisahkan dimensi yang tak mungkin bercantum.

Esya menggeleng kepala melihat keadaan seorang bapa yang membingungkan dirinya .Dia masih mentah untuk menilai sebuah cerita hati. Man hanya tersenyum melihat raut wajah anaknya yang masih ralit menilik orang-orangan itu. Lagaknya mengingatkan detik perpisahannya bersama Hidayah satu ketika dahulu.

“Esya simpan baik-baik ya.” Tangan kirinya mengusapi lembut kepala anaknya.

“Baiklah papa ku sayang, tetapi kenapa?”Esya membuat muka comelnya sambil mengangkat bahu tanda bersoal.

Pemanduannya diperlahankan. Pandangan matanya dilemparkan jauh ke hadapan, ke arah langit yang cerah disinari jasa sang mentari. Wajah Hidayah Nur Husna seperti terlukis di sebalik awanan memutih. Soalan anaknya berselirat dalam atmanya.

“Sebab itu adalah origami cinta!”

saya nak ke syurga bersama abang…

Hujan gerimis sudah menunjukkan tanda-tanda mahu berhenti daripada membasahi bumi Tuhan. Matahari sudah tidak segan-segan lagi menampakkan diri sambil tersenyum menyinari alam maya ini dan burung-burungbebas berkicauan ibarat mencipta melodi dan irama tersendiri. Begitu indahnya alam,beredar menuruti perintah yang Esa tanpa banyak soal,namun makhluk yang bernama manusia,yang dikurniakan akal fikiranseringkali alpa dan leka daripada mengikuti arahanNya. Pelbagai ragam dan kerenah insan mewarnai kanvas kehidupan. Semuanya menjadi saksi bisu kepada pelayaran masa yang tiada henti berdetik.

Di dalam keresahan sang rama-rama mahu berkira-kira untuk keluar dari kepompong, kelihatan seorang gadis lincah sahaja pergerakannya menuju ke perut kereta yang tersadai di hadapan rumah dua tingkat itu . Gadis tinggi lampai yang siap berdandan rapi itu cantik mengenakan baju kebaya berwarna merah hati. Langkahnyapendek-pendek tetapi kemas yang dibantu kasut bertumit tinggi itu menyenangkan mata yang memandang. Wajahnya gembira, terukir senyuman yang tidak pernah lekang dari bibirnya yang merah.Menawan! Seakan-akan model yang memperagakan pakaian tradisional di pentas.

“ Kirim salam ibu kepadanya ya. Kamu pandu hati-hati kereta tu.”Tegur satu suara yang lembut sekali berbicara dalam nada menasihati. “ Baiklah ibuku sayang. Jangan bimbang!” deruman kereta Kia itu diselangi lambaian mesra sang anak kepada ibu yang setia menemaninya setelah pemergian ayahnya. Wanita itulah yang menjadi ibu, menjadi ayah buat dirinya. Hatinya dipaut kesayuan mengenangkan takdir yang merebut kasih insan yang tercinta namun baginya, segalanya sudah catatan . Biarkan ayahnya dengan dunianya. Tiada guna mengeluh kesal,dukacita kerana hidup mesti diteruskan seperti biasa.Tiada guna menangis seperti tiada lagi hari esok buatnya.

Paluan kompang mengiringi pasangan mempelai ini di pentas pelamin. Cantik dan sama padan! Perhiasan yang segalanya berwarna keemasan menaikkan seri keindahan hari berbahagia teman baiknya. Sungguh meriah dan segalanya teratur. Rumah besar itu gamat dengan kehadiran tetamu yang bersama-sama memeriahkan majlis raja sehari itu.

“Hai Hana, kahwin juga kau dengan Hariz. Tercapai juga mimpi khayalan kau”bisiknya sambil mencium pipi pengantin yang kemerahan-merahan menahan malu. Peristiwa kenangan silam Hana yang setahun lebih muda darinya dan Hariz;teman sekuliahnya menerpa ke lembah memorinya. Lucu pula mengenangkan dirinya yang menjadi orang tengah antara junior dan teman baikknya sejak di bangku sekolah lagi.Tidak sangka pula hingga ke jinjang pelamin kisah cinta mereka.

“Sekurang-kurangnya ilusi aku bertukar menjadi realiti. Zue, bila pula aku nak merasa nasi minyak kau? Kawan-kawan yang sebaya dengan kau dah beranak satu , dua tapi kau masih solo lagi. Alahai bilalah makcik ni nak kahwin” usik Hana dengan selamba. Gadis itu tidak mengambil hati dengan kata-kata temannyakerana sudah biasa, dan lali menerima ceramah percuma berkenanan tajuk ‘kahwin’. Alah bisa tegal biasa.

“ Bukannya tak mahu kahwin , tapi tak sampai seru lagi”itulah yang sentiasa meluncur laju daripada bibir nipisnya tatkala diajukan soalan berkaitan kahwin. Namun alasannya seakan-akan basi dan tidak boleh digunapakai di telinga pendengar kerana rata-rata wanita pada umurnya bukan lagi hidup bersendirian.

“Aku tunggu Maher Zain meminang aku, baru aku kahwin”ujar Zue yang amat meminati penyanyi terkenal ini. Gelak tawanya menghiburkan hati mempelai bak merpati putih dua sejoli ini.

Suasana di rumah dua tingkat ini dimamah kesepian. Jendela kecil di penjuru bilikknya dikuakknya lemah. Pandangan mata kuyunya itu dihalakan kearah lautan yang terbentang luas. Ombak-ombak yangtiada henti menghempas pantai seperti membantu gadis berwajah bujur sireh ini menterjemahkan gelora hatinya dikala itu. Kata-kata ibu Zue masih berlegar di ruang benakknya.

“Zue, ibu ada terima pinangan orang tadi untuk kamu. Dia anak kawan ibu masa sekolah menengah dahulu. Santun orangnya. Ibu berkenan nak jadikannnya menantu. Anaknya berkerja sebagai jurutera. Ibu harap Zue terimalah lamaran ini. Ini dah masuk kali keenam orang masuk merisik Zue. Lima orang tu, bulat-bulat kau tolak. Apa lagi kau nak , Zue?” lancar sahaja ibu bercakap bak juruhebah di televisyen.

“Zue bukan apa ibu,tapi…”

“Tapi belum sampai seru?”pantas ibu menduga fikiran anak gadisnya itu. “Sudah-sudahlah Zue.Alasan lapuk! Sedarlah diri kau dah nak masuk umur 27.Ibu tak mahu anak ibu tergolong dalam kumpulan andartu.”sambung ibu kepada doktor pakar ini.

Cincin bertahta berlian masih utuh tersimpan rapi dalam bekas baldu merah. Zue masih belum mengatakan apa-apa keputusan mengenai lamaran itu meskipun sudah seminggu berlalu. Gambar jejaka yang ingin menjadikannya suri hati itu ditatap kembali. Perasaannya seolah-olah bergetar inginkan kepastian.

“Siapa nama dia ibu?”

“Ahmad Junaidi bin Dato’ Saif”

Angin malam terus melayan sepinya. Lagu Innocent nyanyian Avril Lavinge terus menemani telinganya. Seketika, dia terus dibawa arus mimpi.

“Alhamdulillah.. akhirnya!”pantas wanita 50-an itu memeluk anak gadisnya itu.

“Ibu ni kenapa? Macam tak pernah tengok Zue sebulan.” Zue menyampuk kehairanan. “Oh, baru faham.. sebab cincin ini ya ibu?”soal Zue sambil menunjukkan cincin yang sudah terlekat di jari manisnya. “Ibu, Zue terima lamaran ini sebab ibu. Biarlah ibu gembira, Zue tak kisah”ujarnya tanpa dipinta.

Meskijiwa sang ibu sedikit terusik, namun jauh di sudut hatinya mengharapkan agar kebahagian menemani anak tunggalnya itu kelak. Bukannya dipaksa kahwin kerana benci, tetapi kerana hatinya ingin sekali melihat anaknya mampu hidup seperti insan lain, merasai kasih sayang secukupnya. Dia mengerti jiwa anaknya itu sukar untuk menerima insan lain dalam kamar hidupnya selepas bersama-sama merasakan keseksa
an ditinggalkan suaminya. Dia tahu anaknya begitu takut untuk memasuki gerbang perkahwinan kerana bimbang diperlakukan seperti ibunya. Dia tidak mahu hidup dalam kegelapan perangkap si lelaki berhidung belang.

“Awak ni mana tak sampai-sampai lagi?”getus Zue sambil melihat jam tangan Rolexnya.

“Sabarlah, jalan sesak. Lagi 15 minit saya dan keluarga sampailah. Dah tak sabar nak jumpa saya ke?”usik Junaidi sambil ketawa kecil.

“Awak jangan nak merapu. Ibu yang tanya. Tiada masa nak layan awak!” sembur Zue lagi, lantas mematikan panggilan. Junaidi masih ketawa di hujung talian.

“Zue,Zue..tidak berubah..”tersenyum Junaidi sambil meneruskan perjalanannya. Masa yang berlalu diisinya dengan doa ke hadrat Ilahi agar majlis yang akan berlangsung nanti berjalan dengan lancar. “Ya Rabbi, bantulah hambaMu ini. Jagalah hatiku dan hatinya. Moga Kau makbulkan segala isi hatiku.Amin”

Akad dilafaz penyubur ikatan,

Syariat dan adat dijunjung bersama,

Segala-galanya sudah dicatatkan,

Seperi bertautnya hati Adam dan Hawa.

“Tahniah Cik Zue.Ops, Puan Zue.” Gurau Hana sambil dipimpin suaminya,Hariz.

“Ish kau ni. Dari zaman bujang sampai dah berbadan dua, perangai kau suka menyakat orang tak pernah hilang-hilang.”gelak Zue sambil bersalaman dengan sahabat baiknya itu.

“Zue, cepat-cepatlah jadi ibu ya. Boleh kita berbesan nanti”sambut Hariz bersahaja.

“Kau jangan nak merapu. Aku sendiri pun tak kenal suami aku siapa. Entah dari planet mana asal usul dia pun aku tak tahu. Kalau tidak kerana ibu, jangan mimpi aku terima dia.”mengeluh Zue sambil memandang suaminya yang mesra melayani tetamu yang datang.

“Tapi kacak juga suami kau ya? Ada iras-iras Maher Zain aku lihat.”terbatuk Hariz mendengar isterinya memuji Juanidi. Tetapi tindakannya tidak diendahkan Hana,pura-pura tidak mengerti.Cemburu! Ada-ada sahaja kalian.Zue tersenyum sambil menggeleng kepala melihat kerenah pasangan bahagia ini. Lagu Barakallah dendangan Maher Zain menceriakan lagi suasana.

Petang mula melabuhkan tirainya. Matahari sudah pulang ke kamarnya sementara bulan dan bintang sudah bersedia untuk menjadi penghias dada langit. Sesekali tahi bintang menziarahi mereka dan pantas beredar pergi. Zue mendongak ke langit mencari sinar bulan purnama, tetapi ia kelam dilitupi awan gelap.

Lafaz salam terakhir solat isyak dari suara merdu suaminya itu mengejutkan Zue dari lamunan emosinya. Dia hanya memandang lesu ke arah jejaka yang berjaya menjadi suaminya itu berdoa,berteleku di sejadah merah. Tiada perasaan sayang yang terbit.

“Awak nak air ke apa-apa tak?”soal Zue acuh tak acuh.

“Sayang, mari kesini”ujar Junaidi lembut sambil menepuk-nepuk kusyen di sebelahnya. Zue melangkah teragak-agak.

“Ada apa?”kata Zue lepas.Tangannya ditarik Junaidi untuk duduk bersebelahannya.

“ Lama tak tatap wajah awak. Rindu” jawabnya lancar.

“Lama? Bila pula awak pernah tengok saya? Saya tak pernah kenal pun awak. Saya terima awak pun sebab saya sayangkan ibu saya.”luah Zue tanpa berlapik-lapik.

“Zulaikha Qistina, awak betul-betul dah lupakan saya?” persoalan Junaidi dibiarkan tidak berjawab. Kotak memorinya dibiarkan berputar kembali. Suara itu, senyuman itu, mata itu..

Betapa kecilnya dia sebagai makhluk Tuhan. Insan yang pernah bergelar ketua pelajar dan merangkap penolong ketua Usrah sekolah menengahnya kini menjadi suami yang bakal menemaninya sepanjang hayat.

Kenangan 13 tahun kembali bertandang. Coretan minda membawanya megingati kembali saat dirinya dimarahi Junaidi di kompleks membeli belah yang terletak di tengah-tengah bandaraya itu kembali subur di lubuk ingatannya. Perasaan malu, marah bertimpa-timpa menerkam jiwanya. Semuanya gara-gara terserempak dengan Junaidi semasa keluar bersama-sama teman sekelasnya. Hanya Zue yang tidak bertudung. Rentetan dari peristiwa itu, Zue langsung tidak menghormati Junaidi yang 4 tahun lebih berusia darinya dan namanya terus menjadi bualan teman-teman persekolahannya.

“Saya nak minta maaf.Saya tahu saya dah memalukan awak sayang.”suara itu begitu merayu-rayu.

“Eh awak, setakat nak minta maaf, tak perlulah awak sampai meminang saya, kahwin dengan saya. Saya bukannya solehah macam orang lain. Bertudung litup, bergaya busana muslimah. Kenapa awak cari saya lagi? Nak malukan saya lagi?? Kalau bukan kerana awak, saya tak akan tinggalkan sekolah itu.”Zue meluahkan segala isi hatinya yang terkilan selama ini.

“Zue sayang.. awak tak tahu betapa susahnya hati saya bila ..” kata-kata Junaidi pantas dipotong Zulaikha. “Bila apa?Bila awak tak tahu nak marah siapa lagi kan?Yalah dalam sekolah itu, yang bermasalah, yang selalu ponteng usrah dan macam-macam lagi aktiviti awak buat saya seorang saja. Sudahlah, saya nak tidur. Awak tidur di sofa.”tegas suaranya memberi arahan. Junaidi masih tersenyum melihat kerenah isterinya. Dia memahami jiwa sang wanita yang mudah tersentuh, namun mudah pula dilenturkan tetapi tidak disangkanya luka dihati isterinya begitu dalam.Biarlah… Segala-galanya memerlukan ketenangan dan kesabaran.

“Zue nak ke mana ni?”

“Saya nak pergi kerjalah. Saya ni doktor. Dah tiga hari saya tak buka klinik saya.Bosan asyik memerap dalam rumah ini.”Zulaikha menjawab selamba.

“Awak nak tunjuk kat siapa rambut awak yang cantik itu? Alahai, cantiknya i
steri abang bersolek. Tapi rasanya tak perlulah tunjuk kat orang lain kecantikan awak itu kan sayang?”lembut sahaja Junaidi berbicara sambil mencicip kopi panas.

“ Saya nak pergi klinik saya . Ikut sayalah saya nak pakai ke tak nak.Bukannya nak pergi ke masjid.Tak pernah letih ke mulut awak tu?Asyik membebel sahaja. Dari zaman sekolah lagi suara awak saja yang berceloteh! ”Radang Zulaikha mendengar suaminya memberi perlian yang menyakitkan hatinya. Teguran Junaidi tidak diendahnya. Dia berlalu pergi dengan hatinya yang meletup-letup bagaikan lava panas yang mengalir.

‘Abang tunggu sayang kat Hotel Cliquey ya? Jangan lambat’

“Apa hal pula mamat ni nak jumpa aku kat hotel? Kat rumah pun boleh nak bagi tazkirah kat aku.”getus hati kecil doktor ini.

Perkarangan hotel ini dipenuhi lampu yang berwarna-warni.Hiasannya memukau mata sesiapa sahaja yang melihat. Rambut lurusnya dibiarkan rapi tidak berikat. Mata kuyunyanya melilau mencari kelibat jejaka pemilik kulit cerah yang sentiasa sabar melayani tindak tanduknya yang berajakan nafsu semata-mata itu.

Dua bulan sudah dirinya bergelar isteri orang, namun tiada langsung cair di hatinya untuk menerima hakikat jurutera itu sebagai suaminya. Hujan lebat tiba-tiba mencurah melenyapkan kesunyian hatinya. Zue lemas sendiri. Lemas dalam khayalan mindanya. Entah mengapa egonya terlalu menguasai diri. Jika dikenangkan peristiwa itu telah lama berlalu dan sudah mati terkubur dalam pusara cerita lama, namun kini ia seakan-akan diseru kembali untuk bangkit. Zulaikha sepatutnya bersyukur dikurniakan suami yang begitu sabar dan mencintai dirinya. Bukan seperti bapanya yang pantang melihat wanita berdahi licin, semua mahu disapunya. Ah, semua lelaki sama! Hatinya kembali mendesah duka.

Rambutnya yang ditiup angin malam disisir jarinya kemas. Tangannya membetulkan jam tangan sambil melihat detik yang pantas berlalu. Hatinya memberontak keras. Diajaknya datang tetapi diri sendiri tidak muncul-muncul.

Ku pendamkan perasaan ini,

Ku rahsiakan rasa hati ini,

Melindungkan kasih yang berputik,

Tersembunyi di dasar hati..

Deringan lagu Hanya Tuhan yang Tahu nyanyian kumpulan UNIC memancing cuping telinganya. Bait-bait perkataan itu di dengarinya indah meski hatinya panas kerana Junaidi senang-senang sahaja menukar nada dering telefon bimbit Sony Erricsonnya itu.Punat hijau ditekan Zulaikha pantas.

“Puan Zulaikha?Isteri kepada Encik Junaidi?”cemas sahaja suara wanita yang agak berusia di hujung talian.

“Ya, saya.Kenapa?”Zue mengiyakan ,terdesak.

“Saya berharap puan bersabar.Suami puan dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di ICU kerana terlibat dalam kemalangan”tersekat-sekat suara jururawat itu memberikan maklumat.

Seketika dirasakan dunia ini gelap. Meski dia bukan cintanya tapi hakikatnya Junaidi adalah suaminya!

Kia merah itu berlari kencang berlari bersama-sama kenderaan lain di Jalan Tengku Zainal. Air matanya menderu kegelisahan, penuh penyesalan. Ah Zulaikha, di saat suamimu antara bertarung detik hidup,mati barulah tersedar tanggungjawab dan hakikat sebenar kehidupanmu.Barulah mahu menanam benih cinta padanya.Zulaikha , kau memang perempuan yang tidak pandai mensyukuri nikmat Tuhan! Bertimpa-timpa tuduhan dihempapkan atas dahinya sendiri.

“Ya Allah, selamatkanlah suamiku”pohonnya sayu.

Bacaan Yasin dan tahlil mengisi setiap ruang rumah besar di tepi pantai itu. Zue cuba mengikuti bacaan itu tetapi kesedihannya masih menebal di sanubarinya. Suaranya yang tersekat-sekat itu menghalangnya melafazkan bait-bait suci ,kalam Tuhan. Jiran tetangga dan saudara –mara yang datang tiada henti mengucapkan takziah menyesakkan jiwanya.

“Sabarlah nak, Allah lebih menyayanginya.Cukuplah air mata itu kau tumpahkan. Biarlah rohnya bersemadi tenang. Mana Zulaikha yang berjiwa kental dan tabah? Mana? Selautan air mata sekalipun kau ciptakan, rohnya tetap kekal di sana”pujuk Ayah Long Zulaikha. Mata redupnya cuba menahan sebak, tetapi dia lemah! Matanya tidak berhenti menumpahkan air mata panas yang mengalir tiada henti. Perempuan bertubuh lampai ini sudah pudar dari wataknya yang tegas dan kental . Sekeras mana pun ais, tetap akan cair bilamana terkena panahan cahaya mentari yang menyinga. Jiwa mana yang tidak runtun jika ditinggalkan insan tercinta?!

Wajah bujur sireh itu ditatapnya kasih sepuas-puasnya. Lama dia merenung wajah pemilik mata kuyu ini tanpa kelip-kelip. Cantik! Cantik asli yang tidak mungkin dapat ditewaskan peragawati-peragawati terkenal. Rambutnya hitam panjang mencecah paras bawah bahu tersisir rapi. Mata redupnya dihiasi bulu mata lentik dan panjang.Indah! Meski tanpa solekan yang membalutinya, ia seakan-akan bersinar menampakkan cahaya. Ya, cahaya keislaman yang terbit dari wajah yang memukau jiwa sang arjuna hati.

“Abang ni kenapa?”tegur suara lembut sambil tangannya menari-nari memicit bahu Junaidi.

Junaidi yang duduk di hujung katil tersentak, senyuman manis dilemparkan kearah isteri tercinta sambil tangannya memaut jari-jemari Zue yang putih gebu.

“Tiada apa-apa. Cuma gembira melihat Zue yang sudah mendapat semangat kembali setelah pemergian ibu. Selepas ini jangan sedih-sedih lagi ya? Nanti anak dalam perut awak tu sedih juga.”usik Junaidi sambil mencubit pipi Zue yang kemerah-merahan.

Zulaikha mengangguk faham. Sudah sebulan ibunya meninggalkan alam fana ini. Sakit jantung yang disembunyikan Puan Rose selama ini daripada pengetahuan anakandanya akhirnya menjadi asbab musaf
irnya ke alam seterusnya. Pergi menemui Tuhan. Begitulah roda alam. Tiada yang kekal kecuali yang Esa namun yang hidup mesti meneruskan kehidupan. Sia-sia menangis pilu tiada berkesudahan. Ya Tuhan, rahmatilah roh ibu disana.

Siaran ‘Mari Mengaji’ menjadi santapan Zue petang itu.Sedikit sebanyak hatinya terhibur mendengar si kecil melantunkan kalimah suci.Telatah mereka yang bersahaja di hadapan kamera juga menjadi halwa jiwanya. Lafaz salam disambutnya girang menyambut si suami yang pulang dari kerja,kepenatan.“Selamat hari lahir sayang!”kucupan mesra singgah di pipi Zulaikha yang semakin tembam semenjak berbadan dua. Aiskrim berperisa strawberi dan vanilla disuapnya penuh kasih ke mulut isterinya.

“Alahai abang, aiskrim je ke?Tak ada hadiah yang besar-besar ke untuk saya?”mengomel Zulaikha sambil tangannya menyuap kembali aiskrim untuk suaminya, Junaidi.

“Ish, tak bersyukur langsung.”balas Junaidi selamba sambil tersenyum nakal. Tangannya pantas menyarungkan tudung berwarna merah jambu tatkala isterinya tertunduk merajuk. Jari Junaidi lembut mengangkat wajah yang berjaya merebut hatinya itu.Cantik, ayu! Zulaikha tersipu malu menerima pujian dari bidadara hatinya.

“Ala…abang..Zue dah ada tudung warna ni,tapi tak mengapa. Zue suka” manjanya mengalahkan budak-budak yang merayu kepada ibunya bila mahukan sesuatu.Junaidi tersenyum melihat kerenah isterinya itu. Zue..Zue….

“Sebenarnya tudung ini abang beli semenjak abang merasa sesal memarahi Zue dahulu. Abang nak bagi tudung ini sebagai tanda maaf abang, tetapi remuk hati abang apabila mendapat tahu Zue telah berpindah ke sekolah lain. Masa itu abang tahu, jiwa abang dah jatuh hati pada kamu.Segalanya abang luah kepada Ilahi meminta ketetapan hati,tetapi wajah Zue juga yang menjadi bayangan mimpi. Abang tidak akan mudah beralih hati jika hati sudah terpaut pada seseorang.Abang cuba cari sayang, tetapihampa.Abang pasrah. 12 tahun abang mencari Zulaikha Qistina tetapi Alhamdulillah,tatkala jiwa abang sudah patah untuk mencari suri hati ini, Allah temukanmama dengan ibu. Tak sangka pula, Zue anak Datin Rose.”Luah Junaidi sambil membetulkan tudung yang manis disarungkan pada isterinya itu.

“Abang, Zue minta ma…”


“Shh..Zue tak salah apa-apa. Zue ingat lagi malam yang abang kemalangan dahulu?”soal Junaidi dengan jarinya yang melekat dibibir nipis isterinya yang sudah bergenang air mata keharuan.

Zulaikha terdiam menanti kata-kata Junaidi. “ Pada malam itu,abang ajak sayang ke sana untuk menghadiahkan tudung ini untuk hari jadi Zue, tetapi kita hanya merancang Tuhan menentukannya.Mujur tudung ini tidak cedera juga.”sempat lagi dia bergurau senda,mencipta tawa. “Abang harap Zue sudi terima hadiah tak seberapa ini.” Junaidi mengakhiri kata-katanya dengan perasaan berbunga girang setelah meluahkan segala isi hatinya.

Kepala Zulaikha dilentokkan kebahu suaminya. Menangis haru mengakui cinta sejati suaminya, mengenangkan jasa suaminya yang berupaya mengubahnya menjadi wanita muslimah sejati, yang memisahkannya dari kancah dunia keseronokkan alam yang tidak kekal abadi ini.

Junaidi masih mengukir senyuman tenang penuh kesyukuran. Jiwa yang keras dahulunya sudah berjaya dilenturkan. “Ya Allah, rahmatMu sungguh besar. Kau lindungilah kami dalam maghfirah dan rahmatMu. Pandu dan tautlah hati kami dalam menuju syurgaMu”pinta hati kudus jejaka ini ke hadrat Ilahi.

“Abang, saya nak ke syurga bersama abang..”

Air mata semalam..

Angin malam semalam perlahan-lahan membaluti tubuhku..Rintikan hujan yang menjadi halwa telingaku pada malam ini kubiarkan ia terus membasahi bumi.. mana mungkin aku memberhentikan sunnatuallah yang indah ini meski kesejukan menyelinap ke seluruh jasadku..aku secara jujurnya tidak tahu untuk mencoretkan apa yang tercatat di mindaku.. minda yang kurang fikir dan zikir ini selalu bermonolog sendirian..tetapi itulah aku.. insan kerdil yang hanya mampu bersuara dalam suram, tidak dapat meluahkankannya seperti insan lain yang gah , lantang bersuara samada melalui lisan yang petah berkata –kata mahupun tangan yang lancar menterjemahkan buah fikiran..

Fikiranku hari ini dibawa jauh melayang.. membawa aku pada saat untuk menerima keputusan peperiksaan semester dua.. kali ini aku memang pasrah sepasrahnya.. kenanganku yang seperti orang putus asa tatkala menjawab peperiksaan dahulu mematahkan semangatku untuk menerima hakikat sebenar keputusanku.. kadang-kadang aku merasa lucu dengan sikapku.. mengharapkan kejayaan tetapi usaha tidak menuju kearah itu..

Assolatu khairun min annaum !! enti iqra’!

Huh, bukan sengaja aku membuka pekung di dada tetapi biarlah anak bangsa mengambil iktibar dari pengalaman sesama sendiri. Seringkali perkataan itu meluncur laju keluar dari bibirnya. Mana tidak geram melihat anak didik lena dalam kelas.. Naimah, Naimah tidak pernah berubah…aku tidak tahu mengapa, seakan-akan ada sesuatu sihir yang mematikan sarafku ketika menerima ilmu bahasa syurga ini..

Naimah kalau english semangat lah dia.. bahasa arab lentok..

Aii Naimah, dah migraine ke?

Kata-kata sindiran bebaur semangat untuk aku meneruskan pelajaranku sentiasa aku terima dari sahabat-sahabat dan para guru yang tidak lokek mengajar dan mendidikku..entah mengapa aku menjadi sebegini..ya Allah, bantulah hambaMu ini.. tetapi pantaskah aku mengharapkan perubahan dari Tuhan sedangkan diriku sendiri tidak melakukan anjakan paradigma dalam hidupku sendiri? .

Keputusan peperiksaan kali ini amat menyentuh segenap jiwa dan ragaku.. betapa Allah ,Tuhan yang maha besar… aku malu, malu dengan Allah, tuhan yang maha pemurah.. perasaan berdebar yang ibaratnya membekukan darahku dari mengalir ini berganti keinsafan.. . sesungguhnya Allah tuhan yang maha penyayang ..sangkaanku pointer pada sem ini akan menurun meleset sama sekali. Betapa besar kasihMu dan Bahasa Arab yang aku jangka kan gagal jua tidak menemui kebenaran.. lafaz pujian ke atasNya jua ku panjatkan , ramai sahabat-sahabatku dan diriku sendiri telah berjaya melepasi syarat kelulusan subjek bahasa inggeris..

Sekalung tahniah aku terima dari insan-insan yang selalu menemani hidupku. Terpancar dari raut wajah ibu bapaku betapa dia bangga denganku. Aku turut tersenyum melihat mereka namun jauh di sudut hatiku, aku tahu segala kejayaan yang aku kecapi hanyalah ujian dari Nya..aku tidak mahu tatkala aku berada di atas, aku merasa selesa dengan kejayaan ini kerana jika bukan keranaNya, aku tidak akan berjaya mengulangi kejayaan yang sama seperti semester pertama. Air mata kesyukuran aku sertai dengan lafaz hamdallah dalam sujudku agar perasaan keinsafan itu masih utuh dalam jiwaku..

Aku cukup terkesan dengan nikmat ini..sesekali aku merasakan seperti ia satu istidraj dari yang Esa. Aku sedari diriku tidaklah sebaik insan lain dalam berusaha, tetapi mengapa Allah masih memberikan aku nikmat yang besar ini? astagfirullah… segala prasangka aku cuba tepis setepisnya meski bisikan itu sentiasa menggangui jiwaku yang lemah iman ini. ya Allah, usahaku tidak setimpal nikmat yang Kau berikan….terima kasih ya Allah..biarpun begitu, aku tidak akan menyatakan segalanya ini satu kebetulan kerana teori kebetulan tidak wujud tetapi segalanya dari Allah.. aku tahu ini terbiyah dari Nya, teguran penuh kasih dari Nya..

Aku kembali meletakkan tekad dan azam untuk berusaha dengan sebaiknya. Pesanan dari seorang sahabat yang amat aku kagumi, yang tidak jemu menasihatiku, memberikan kata semangat dan dorongan sejak di alam persekolahan dahulu ku semat rapi..

Jangan goyang kaki lagi lah lepas ini..

Meski dalam bersahaja kata-katanya, namun aku akan tanamnya dengan baja tekad yang tinggi. Debaran yang semakin menghantuiku untuk memulakan semester baru kelak dengan subjek-subjek bahasa arab yang hampir keseluruhannya cubaku telaninya..insya Allah, tajdid niatku mengiringi perjuangan..