Matahari sudah tegak berdiri di langit biru. Jasanya telah lama ditabur semenjak alam ini diciptakan daripada satu letupan besar yang menghasilkan gas-gas dan atom yang telah berkembang membentuk jagat raya. Kehadirannya di atas sana menyaksikan secara diam kelibat manusia yang menguruskan hal kehidupan seharian dan bila malam menjengah, sahabatnya bulan berganti saksi.

Di satu sudut alam, kelihatan seorang lelaki yang setia menunggu sang anak pulang dari sekolah dengan raut wajah yang agak keletihan. Mungkin dek kerja yang tergalas di bahu ataupun menahan terik mentari yang agak menikam sekarang. Dia duduk bersandar melepaskan lelah di dalam keretanya yang diparkir bersebelahan pagar sekolah. Bukannya dia tidak mahu melepaskan anaknya yang sudah mencapai umur 12 tahun itu pulang bersama dengan teman-teman menaiki bas, tetapi fenomena kebejatan kes jenayah menyimpul mati hatinya untuk memberi kebenaran. Biarlah dia berpenat lelah berulang-alik dari rumah dan tempat kerja asalkan darah dagingnya selamat.

Keripuhan anak-anak kecil pra sekolah, darjah 1,2 dan 3 keluar dari perut bangunan sekolah bersama tawa dan riang mereka membawa dirinya terbang ke dalam atmosfera zamannya bersekolah dahulu. Sama seperti mereka, lincah berlari bersama teman-teman tatkala mendengar loceng tamat persekolahan berbunyi. Segalanya indah!

Lelaki itu senyum kembali. Kenangan lama kembali bertandang. Dia tidaklah dijemput sebegitu sewaktu bersekolah dahulu. Basikal hitam yang dihadiahi datuk daripada wang hasil tuaian padi menjadi peneman setianya pergi dan pulang dari tempat menuntut ilmu. Biasanya selepas menghadiri kelas tambahan pada waktu petang, dia akan berlumba basikal bersama teman-teman dan singgah sebentar di Gerai Pak Man membeli air batu campur untuk menghilangkan dahaga.

****

“Man, petang ni kita pergi memancing kat lombong hujung kampung ya?”

“Bagus juga. Aku pun sudah lama tak memancing. Manalah tahu dapat ikan sepat, keli dan tilapia. Bolehlah mak aku buat gulai.” Kecur air liurnya membayangkan gulai ikan yang enak dimakan bersama nasi beras baharu yang panas bersama daun ulam raja. Jika ada rezeki lebih daripada pohon di belakang rumah, bolehlah buat kerabu mangga.

“Baik. Petang nanti, selepas mengaji aku jumpa kau kat simpang tiga, tempat biasa.” Poji beredar meninggalkan perkarangan rumah kayunya. Poji sememangnya teman rapat Man. Dia lebih selesa memanggilnya sebegitu meskipun nama Poji yang sebenar adalah Fauzi. Ini semua gara-gara adik Poji yang pelat untuk menyebut namanya dan setelah itu, namanya Poji menjadi sinonim buat teman baiknya itu.

Setelah mendapat keizinan daripada ibunya untuk pergi memancing, dia menuruni anak tangga mendapatkan basikal dan mengayuhnya menuju ke tempat perjanjian. Senyum dilirikkan di bibir masing-masing. Mereka membayangkan ikan-ikan yang akan ditangkap. Sengaja mereka mahu mengubah angin memancing di kawasan lombong. Mana tahu, ia lebih menyeronokkan daripada mencari belut di petak sawah , memukah ikan di sungai, atau memanjat pokok rambutan dan rambai. Mereka meneruskan perjalanan dengan menyanyi lagu-lagu gembira.

“Poji, ada hantu tak kat sini?” Man meluahkan perasaan di hati. Dia memandang suasana sekeliling yang menghijau dan sunyi. Sesekali, terdengar bunyi angin yang berdesir melalui celahan pohon-pohon buluh lantas menghasilkan satu bunyi yang agak menyeramkan jiwa mereka yang masih keanak-anakkan.

“Kau jangan nak merapu boleh tak? Siang hari mana ada hantu.” Poji membuat tidak endah. Dia sebetulnya malas untuk melayan perasaannya yang juga bertandang. Di fikirannya , dia hanya mahu mendapatkan ikan. Kata jirannya, Abang Mail, lombong itu adalah lubuk ikan.

Man dan Poji, masing-masing duduk di atas busut yang terdapat di tepi lombong. Mereka mencangkukkan umpan cacing pada mata kail dan mula memancing. Selang beberapa ketika, umpan mengena. Rezeki memang menyebelahi mereka.

Lelaki itu tersenyum puas. Kenangan zaman kanak-kanaknya memang indah. Di fikir-fikirkannya, mungkin tiada lagi saat-saat itu diulang oleh anak-anak yang membesar dalam zaman atom ini. Dia memandang kembali jam yang terpapar. Man sendiri bingung kenapa hari itu terlalu awal dia datang untuk menjemput anaknya. Penjaja jalanan sibuk melayan permintaan anak-anak kecil yang mahu membeli. Ada yang menjual air sejuk, aiskrim, keropok dan yang menarik perhatiannya, rojak buah. Buah-buahan seperti jambu batu, betik dan mangga. Ya mangga! Fikirannya menerewang lagi.

***

“Poji, jom balik. Dah lewat petang ni. Aku ta..”

“Ta apa? Takut? Kau ni, nampak sahaja hero, tapi penakut !” Poji memuntahkan tawa. Mereka lekas berkemas. Senja mula mengambil alih waktu. Burung-burung yang berterbangan cantik tersusun di angkasa yang keperangan. Ikan-ikan yang diperolehi diikat bersama dan digantung pada sisi basikal. Mereka pulang ke rumah masing-masing dalam hati yang girang gembira. Anak-anak kecil seperti mereka ternyata sudah puas menerima rezeki sebegitu kerana ianya adalah swakarya mereka.

Sampai di simpang tiga yang menjadi jalan pemisah mereka, Man dan Poji masing-masing membelok ke arah jalan rumah mereka. Man meneruskan kayuhannya. Dia melewati jalan di sepanjang sawah. Masih ada lagi petani yang berada di situ, mengetam padi. Kemudian dia melalui sebuah dusun buah-buahan. Dia mendongak ke atas,melihat rimbunan buah mangga yang sudah masak ranum. Seketika, telinganya menangkap satu suara yang seakan-akan menangis. Sayup-sayup kedengaran. Man menarik brek basikalnya serta merta.

“Siapa pula yang menangis kat dalam dusun ni?” Man bermonolog sendirian sambil menggosok-gosok lengannya. Matanya melilau punca suara yang kedengaran. “Hantu ke?” serentak dengan itu, bulu roma leher dan lengannya tegak berdiri. Man langkah seribu dari tempatnya berhenti. Lama kelamaan, suara itu makin kuat. Perasaan takut makin mendalam. Semua ayat al Quran yang dipelajari daripada Tok Li dibacanya dengan harapan ketakutan itu dapat diatasi.

Kayuhannya terhenti lagi. Matanya menangkap satu susuk tubuh yang terduduk di tepi pohon mangga. Rambutnya lurus, panjang mengurai dan berbaju kurung putih. Man tergamam. Namun entah dari mana kekuatannya datang untuk menegur perempuan itu. Basikalnya disandarkan pada pokok manggis yang juga berbuah sama.

“Awak, kenapa meraung kuat-kuat dalam dusun ni?” Gadis kecil molek itu menoleh ke arahnya dengan mata yang kemerahan dek terlalu banyak menangis. Alhamdulillah, manusia rupanya, getus hati Man. Dia berlagak tenang.

“Sakit..” hanya sepatah itu dijawabnya. Suaranya tersedu-sedu. Rupa-rupanya, kaki budak itu terseliuh sewaktu mengutip buah mangga. Dia tidak dapat menahan kesakitan. Man berkira-kira umur budak perempuan itu. Dia menebaknya berumur setahun atau dua tahun lebih muda darinya.

“Adik, rumah kat mana? Jom abang hantarkan.” Man menghulurkan tangan untuk menolongnya. Dia membawanya pulang dengan basikal. Rupa-rupanya, perempuan itu anak ketua kampung, Encik Mustafa.

Tiba di perkarangan rumah ketua kampung, kelibat Encik Mustafa atau lebih mesra dipanggil Ayah Pa sedang khusyuk mencabut rumput-rumput liar yang tumbuh di kaki tangga rumanhya.

“Ayah Pa..Ayah Pa…” Man menjerit nama ketua kampung dan lantas ditoleh oleh orang tua itu. Dia yang sedang terbongkok-bongkok itu segera berdiri dan maju kearah Man. “Ayah Pa, saya jumpa anak Ayah Pa kat dusun.Dia terseliuh” Lelaki yang seperti terpinga-pinga itu mengangkat anaknya turun dari para basikal Man dan meletakkannya di sisinya.

“Man, terima kasih. Sekejap ya. Ayah Pa ambil pisang buat kau bawa pulang.”

“Ayah Pa, tak perlu susah-susah. Saya nak cepat ni. Lagipun dah lewat petang. Lain kali sahaja ya!” dia segera beredar dari rumah kayu yang tersergam di tepi sungai dan dusun buah-buahan itu. Bukannya dia tidak mahu menerima pemberian Ayah Man, tetapi dia perlu bergegas sampai ke rumah sebelum ibunya berleter kerana pulang lambat.

***

Pagi menjelmakan diri bersama kokokan ayam yang menceriakan suasana desa permai. Bau sambal tumis ikan bilis menusuk ke dalam rongga hidungnya. Wah, nasi lemak! Perutnya lantas merengek untuk diisi. Man segera mencapai pinggan yang telah tersedia di atas meja makan. Selera budak-budak seusianya besar. Budak semakin membesar katakan. Dia mencedok nasi yang masih panas. Kerjanya cermat meski dia seorang anak lelaki.

“Mak, jom makan bersama. Eh, ayah pergi ke mana?” aroma nasi lemak air tangan ibunya amat membuka selera.

“Ayah pergi tolong datuk kat sawah awal pagi lagi. Kebetulan kerjanya dah selesai” Man mengangguk faham. Kerja ayahnya sebagai pendidik bertambah sibuk akhir-akhir ini dek terpaksa memeriksa kertas jawapan peperiksaan pelajar-pelajarnya. Man yang baharu sahaja bercuti selepas menduduki peperiksaan darjah enam melakar senyuman bangga dengan ayahnya.

“Mak, kenapa sebelum ni, Man tak pernah nampak anak Ayah Pa?”Man menyuap ke mulutnya sayur mentimun yang dimakan bersama nasi lemak.

“Siapa? Hadi ke Hidayah?”

Hidayah? Itu ke nama budak perempuan yang ditolongnya?

“Hadi, Man kenallah. Dia kan selalu teman Man pergi mencari belut kat sawah.”

“Belut ke lintah?” Tipah sengaja memperli anaknya.

“Erm, mak kenal Hidayah?” tidak dihiraukannya usikan ibu yang sedang membasuh pinggan mangkuk.

“Hidayah? Hidayah tu kan kembar Hadi. Tapi dia tinggal bersama ibu saudaranya di Terengganu semenjak masuk darjah satu. Jarang-jarang dia pulang ke kampung.” Ibunya masih tekun menyiapkan kerja di sinki. Sesekali dia menjengah ke luar rumah menerusi tingkap yang terkuak di hadapannya.

Kembar Hadi? Kenapa Hadi tidak pernah menceritakan tentang kembarnya sebelum ini? Mungkin kerana Hadi seorang yang agak lembab kerana mengalami kerencatan akal semenjak dilahirkan. Man meneruskan sarapannya. Air teh yang masih panas dicicipnya perlahan-lahan, bimbang lidahnya melecur. Dia sudah memahami petua ibunya yang membancuh teh. Tidak akan dicampurnya dengan air sejuk untuk mengekalkan aromanya.

“Assalamualaikum…. Assalamualaikum..” Lafaz salam bersahutan dari luar. Man yang baharu sahaja usai membasuh pinggannya, berlari menuju ke pintu rumah. Meninjau-ninjau siapa gerangan yang hadir. Dilihatnya, ibu sedang berbual mesra bersama seorang budak perempuan.

Hidayah!

Man merapati ibunya yang menerima beberapa sikat buah pisang Kelat Siam daripada Hidayah.

“Eh kenapa susah-susah bawa pisang ni? Kan saya dah bagitahu kat Ayah Pa semalam.” Man tersenyum ke arah Hidayah yang sopan berbaju kebaya longgar, berwarna merah jambu. Ayu!

“Tak mengapa. Rezeki jangan ditolak. Boleh Mak Cik Tipah buat goreng pisang petang nanti kan?”

Hidayah menyalami ibu Man sebelum beredar. “Dayah, tunggu.” Ibu Man bersuara. Hidayah terhenti langkahnya. “Ada apa Mak Cik?” “Biar Abang Man hantarkan kamu balik.” Man tersentak, tidak menyangka ibunya akan berkata sedemikian. Wanita itu menyiku anaknya yang masih tidak berganjak. Man menuruni tangga dan menuju ke arah basikalnya.

***

Sinar di horizon semakin cerah menerangi bumi. Matahari tersenyum memberi sapaan kepada makhluk-makhluk yang tekun mencari sebuah kehidupan. Embun-embun yang membasahi rumput dan dedaunan beransur hilang. Sawah yang menguning dek padi yang telah mencapai masa untuk dituai serta berlatar belakangkan pemandangan bukit bukau yang tegak terpasak di atas bumi memperikan simbiosis alam yang menarik dan menakjubkan.

Man mengayuh basikalnya perlahan-lahan, sedamai angin pagi. Jiwanya dibawa perasaan yang tidak dimengerti akannya. Dia cuba bersuara, tetapi kaku. Lidahnya kelu.

“Abang Man bijak kan? Sepupu Dayah ada bagitahu nama abang tersenarai pelajar yang cemerlang di sekolah” pertanyaan Hidayah menegur dirinya yang terdiam bisu.

“Eh, biasa-biasa sahaja.” Dia cuba untuk tidak menjawab persoalan sebegitu, bimbang dirinya terjerat dek perasaan bangga diri. Cikgu Azhar pernah berpesan kepadanya, biar setinggi mana kita dijulang dan dipuji, bersederhanalah. Segalanya bukan milik mutlak kita.

“Saya lemah dalam subjek Matematik. Asyik-asyik dapat B dan C. Saya ingatkan Abang Man boleh ajarkan saya sementara saya masih bercuti di sini.”ada nada rajuk di akhir kalamnya.

Man termenung seketika. Dia warawiri untuk menolong atau tidak. Akhirnya dia menerima. Lagipun, apa salah menyalurkan ilmu yang dia ada sebelum melangkah ke sekolah menengah pada tahun hadapan. Dia meneruskan kayuhan bersama lirikan kegembiraan Hidayah.

***

“Bukan macam ni. Kalau soalan sebegini, Dayah kena bahagi dahulu, selepas itu baharulah lakukan operasi tolak.”dia menunjukkan cara-cara menyelesaikan soalan kertas 2.Hidayah terangguk-angguk faham. Sesekali dia menggigit hujung penselnya, bingung kerana tidak dapat menyelesaikan permasalahan.

Man duduk bersila disamping Hidayah yang bersimpuh di anjung rumah Ayah Pa. Hadi pula entah ke mana menghilang. Melastik burung agaknya. Bunyi aliran sungai berdekatan rumah Ayah Pa membuatkan garisahnya meridip nyaman. Berada dalam suasana kampung amat membahagiakan dirinya. Dia mengelusi kenikmatan tersebut sambil memberi tunjuk ajar kepada Hidayah. Proses pembelajaran mereka berlangsung hampir setiap hari di rumah Ayah Pa. Sememangnya orang tua itu sangat senang dengan kehadiran Man yang sentiasa menolongnya di dusun buah-buahan. Tambahan pula, dia sanggup mengajari anaknya. Burung-burung dan rama-rama yang terbang juga berlagu riang.

“Abang Man, esok Dayah akan pulang ke Terengganu.” Hidayah bercakap sambil memandang anak matanya. Man menundukkan wajahnya.Setelah itu, dia menoleh ke arah langit yang persih kebiruan dan melilau memerhati keadaan sekeliling rumah Ayah Pa. Dia tersenyum kembali.

“Sudah, tutup buku. Jom.”

“Nak ke mana?”

“Ikut sahajalah.” Man mendapatkan Ayah Pa meminta kebenaran. Biarpun umurnya masih rebung, namun adat sopan diamalkannya. Dia selalu dipesan oleh ayah dan ibunya supaya menjaga nama baik keluarga dan maruah diri.

***

Lelaki dewasa ini meraup wajahnya. Ah, kenangan demi kenangan datang menerpa. Anaknya masih belum pulang lagi. Masa tamat kelasnya masih berbaki 15 minit. Dia menekan butang ‘on’ radio. Berita semasa melaporkan dari corong stesen radio tempatan. Bola matanya melihat lagi keadaan sekeliling. Tiba-tiba hatinya berkeinginan sesuatu. Dia membuka pintu keretanya dan maju beberapa langkah ke hadapan, mengakrabi sebatang pokok yang tegak berdiri di sebelah pagar sekolah.

“Kita sudah sampai.”

“Abang Man nak buat apa kat sini?” Man tidak memperdulikan soalan Hidayah. Dia mencapai pelepah pokok kelapa yang rendah, bisa dicapai pada ketinggiannya ketika itu. Hidayah hanya memperhati tindakan lelaki itu. Dia sendiri mati akal melihat tingkah laku Man. Man melurut daun yang masih hijau. Diasingkannya lidi dan daun. Jari jemarinya pantas melipat-lipat daun itu dan dicucukkan lidi di tengah daun yang siap dilipatnya. Entah bagaimana dia melakukannya, Hidayah tidak sempat untuk menilik kaedahnya. “Abang Man tak ada hadiah mahal-mahal buat kenangan Dayah pulang ke Terengganu.Entah bila lagi kita boleh bertemu lagi”

Dia menghulurkan origami orang-orangan yang diperbuat daripada daun pokok kelapa. Dayah mencapainya. Kraftangan itu dipegangnya berhati-hati. Bimbang ia akan terburai lipatannya satu-persatu, tetapi hasil tangan Man kemas.

“Terima kasih Abang Man. Dayah suka.” Dia tersenyum comel sambil duduk di atas akar kayu yang besar, berselirat dan timbul di atas permukaan bumi. Langit kirmizi senja menjadi saksi detik perpisahan mereka.

Namun,persahabatan mereka tidak terhenti setakat hari itu. Surat sentiasa dilayangkan menjadi simbol diri yang menghargai sebuah pertemuan.

‘Abang Man, Dayah dapat markah paling tinggi dalam kelas untuk subjek Matematik. Cikgu senyum gembira melihat perubahan Dayah. Dayah nak ucap terima kasih yang tak terhingga buat Abang Man sebab susah payah mengajari Dayah. Moga kita berjumpa lagi nanti. Dayah nak jadi cemerlang macam Abang Man juga, dapat masuk sekolah berasrama penuh. Doakan Dayah ya! Salam penuh kesyukuran buatmu di sana.’

Man berjaya menyambung pelajaran di sekolah menengah berasrama penuh di Selatan Malaysia. Biarpun sibuk dan berada berjauhan, namun ikatan persahabatan mereka tetap utuh bersemadi dan mekar sentiasa. Setelah setahun berlalu, Dayah pula yang mendapat tawaran belajar di sekolah yang sama. Hubungan yang sudah dimaklumi akrab, kini lagaknya seperti isi dan kuku. Biarpun perasaan cinta dan sayang hadir dalam hati masing-masing, namun cita-cita lebih di utamakan daripada cinta. Biarlah kuasa cinta yang menghidupkan jalan menuju cita mereka.

Hari berganti hari, begitu juga tahun berganti tahun, pejam celik Man sudah menggapai ijazah dalam bidang kejuruteraan dan Dayah masih menuntut di maktab perguruan. Bukan kerana tidak berminat untuk menjadi mahasiswa di universiti, tetapi perasaan untuk mendidik anak bangsa menjadi keinginannya untuk digapai.

Kini lelaki itu gah menjadi salah seorang jurutera terkemuka di tanah air. Biarpun dahulu badan itulah yang bermandi lumpur, luka-luka memanjat pokok, tetapi bukan bermakna anak desa sepertinya tidak mampu mencapai jaya. Dia mematikan lamunannya dan kembali memasuki perut kereta Camrynya.

***

Pintu kereta bersebelahan tempat memandu dibuka. “Papa, dah lama tunggu ya?”

“Eh ,tidaklah.Nah, hadiah buat kamu.” Man menghulurkan patung orang-orangan yang diperbuat daripada daun kelapa, sama seperti yang pernah diberikan kepada Hidayah. “Cantik. Pandai papa buat.” Anak perempuannya tersenyum memberi pujian, menayangkan giginya yang putih, tersusun.

Mata Man melihat cermin sisi sebelum membelok ke kanan dan berlari laju mengendalikan kereta putihnya di atas jalan raya.

“Esya belajar apa hari ini?” soalan dimuntahkan memecahkan kesunyian.

“Hari ini, macam-macam Esya belajar. Lepas itu, cikgu ada tanya apa cita-cita Esya.” Anaknya menjawab pertanyaan sambil bermain-main bersama hasil tangan Man yang menarik perhatian anak kecil itu.

“Jadi, apa Esya jawab?”

“ Esya cakap, nak jadi cikgu. Boleh ke tak papa?”

***

Suasana perkarangan kampus sunyi dek para pelajar yang keluar ke Bandar, memenuhi cuti hujung minggu. Ada yang malas untuk keluar, tinggal di asrama menelaah pelajaran dan berehat-rehat, menyantaikan pemikiran. “Abang, masih awal lagi untuk Dayah terima.” Dia membetul-betulkan tudungnya. Sebenarnya dia masih kekok untuk bertudung, tetapi setelah dipujuk Man supaya berubah, dia akur. Bukan kerana dipaksa, tetapi merasakan kebenaran yang tidak lagi terlindung.

“Rasanya tak elok kita berterusan begini. Abang ada pendapatan tetap untuk menyara kehidupan kita. Dayah nak belajar, teruskan. Capai cita-cita. Abang tak halang.”

“Tapi, nanti apa pula kata ..”

“Kata siapa? Ayah dan Mak Dayah? Hidayah,sebenarnya Ayah Pa dan Mak Som sudah bersetuju. Mereka hanya menunggu keputusan Dayah.” Matanya merenung ke dalam mata Dayah. Mata itu cukup redup, cantik diserikan bersama bulu mata yang lentik.

Hanya sebulan berlalu,perkahwinan mereka berlangsung dalam situasi Hidayah yang masih berbaki satu tahun untuk menamatkan pelajaran. Seperti kata-kata Man dahulu, dia kotakannya. Segala sokongan diberikan kepada Hidayah dalam meneruskan pembelajaran.

Segalanya berjalan pantas, sepantas aliran air sungai yang maju ke muara.

Lagi 3 bulan, Hidayah bakal melahirkan anak pertama mereka. Tidak disangkanya bakal merangkul gelaran ibu pada usia muda. Peperiksaan akhir yang sudah berlalu sebulan menyenangkan dirinya. Dia yakin, cita-citanya untuk menjadi seorang pendidik bakal terlaksana setelah bersalin nanti.

***

“Papa.. oo papa.. Boleh ke tak?”Esya mengulang-ulang soalan. Astaghfirullah, mujur tak terbabas. Dia meraup wajahnya yang banyak mengelamun. Satu persatu detik-detik kehidupannya hidup di lohong minda. Sejenak, matanya menakung air mata.

“Kenapa papa ni? Esya tanya ,tak jawab. Lepas tu, buat muka sedih pula” Esya mencebik. Rajuknya menceriakan hati Man. Dia ketawa kecil melihat telatah anaknya.

“Boleh. Papa sokong. Tunaikan harapan Mama yang tidak tercapai.” Tersekat-sekat suaranya berkata-kata.

“Mama? Mama pun nak jadi guru?”pandangan Esya dialihkan kearah ayahnya yang sedang memandu. Wajahnya saling tak tumpah seperti ibunya. Mata, hidungnya.. Semakin menginjak remaja, Esya banyak menerima warisan peribadi ibunya yang perawan.

***

Kelahiran cahaya mata menjadi penyeri kehidupan. Begitulah takdir Tuhan yang berkuasa menjadikan dan menemukan segalanya. Namun, Dialah juga yang memisahkan sebuah pertemuan.

“Abang, sempat ke Dayah tengok anak kita membesar ya? Sempat ke Dayah didik dia? Sempat ke Dayah jadi cikgu ya?” soalan yang bertalu-talu itu mengundang pandangan bingung Man terhadap isterinya. Dia lantas meletakan jari telunjuknya pada bibir Hidayah. Tidak mahu lagi dia mendengar bicara isterinya yang tidak dapat diterima telinganya.

Selang beberapa minggu daripada kelahiran Esya Qistina, badan Hidayah susut dengan mendadak. Selera makannya berkurang. Hancur berkecai hati tatkala menerima berita Hidayah sah menghidapi barah rahim. Pelbagai alternatif perubatan dicubanya, namun tatkala Tuhan telah menyatakan ianya pasti, maka segalanya akan menjadi kenyataan.

‘Walau aku senyum, bukannya aku gembira meninggalkanmu..Walau aku menangis, bukannya bererti aku sedih pergi menemui Tuhan.. Abang, coretan ini mungkin menjadi tatapan terakhir kenangan kita.

Abang, jangan menghukum Tuhan kerana menarik Dayah terlalu awal. Dia maha adil. Bukankah waktu yang telah dipinjamNya dahulu sejak kita masih kecil sehingga sekarang adalah saat yang bahagia?

Esya Qistina, abang didiklah dia sebaiknya. Hanya itu yang mampu Dayah tinggalkan sebagai peneman diri abang setelah pemergianku nanti. Jika perlu, abang carilah pengganti ibu buatnya. Maafkan segala dosa dan khilaf Dayah selama ini..”

Pen di tangannya terlucut dari pegangan. Belum sempat marsum itu diselesaikan, nafasnya terhenti dalam tenang. Warkah yang basah dengan air mata dan ditemani origami orang-orangan yang sudah perang warnanya menjadi peneman pemergian Hidayah.

“Tidak, abang akan setia padamu seorang.”

“Apa papa cakap?” Esya menggarukan kepala. Telinganya hanya mendengar samar-samar.

“Eh tak ada apa-apa.”Man cuba berselindung. Ingatannya kepada isteri tidak pernah padam dan kasihnya tidak pernah berkurangan meski telah dipisahkan dimensi yang tak mungkin bercantum.

Esya menggeleng kepala melihat keadaan seorang bapa yang membingungkan dirinya .Dia masih mentah untuk menilai sebuah cerita hati. Man hanya tersenyum melihat raut wajah anaknya yang masih ralit menilik orang-orangan itu. Lagaknya mengingatkan detik perpisahannya bersama Hidayah satu ketika dahulu.

“Esya simpan baik-baik ya.” Tangan kirinya mengusapi lembut kepala anaknya.

“Baiklah papa ku sayang, tetapi kenapa?”Esya membuat muka comelnya sambil mengangkat bahu tanda bersoal.

Pemanduannya diperlahankan. Pandangan matanya dilemparkan jauh ke hadapan, ke arah langit yang cerah disinari jasa sang mentari. Wajah Hidayah Nur Husna seperti terlukis di sebalik awanan memutih. Soalan anaknya berselirat dalam atmanya.

“Sebab itu adalah origami cinta!”

Advertisements