Malam menjengah tatkala mentari berehat seketika melepaskan lelah menyinari benua Asia ini, melawat bumi Barat pula yang sudah ditinggalkan bulan purnama yang cantik bersinar. Pesawat-pesawat ringan bersaiz sebesar  kereta kancil menghiasi dada angkasa dan ditemani kerlipan satelit-satelit yang berterbangan di taman bimasakti ini. Lampu-lampu yang berbagai warna dan bentuk menghidupkan kegelapan malam. Bangunan yang bercerakakan tumbuh melata bagai semut yang menghurung gula yang tumpah. Bandaraya semakin menuju kegemilangan, dan desa sudah bertukar wajah. Hutan dara yang dahulunya dipelihara rapi, kini hanya menyanggupi dalam terpaksa dirinya dinodai oleh tangan manusia yang rakus, akal manusia yang bernafsu. Segala-galanya direntap arus kemodenan yang menjadi matlamat utama gagasan kerajaan.Dada akhbar yang pada abad ke 21 masih lagi menjadi santapan pagi di warung-warung mahupun ruang makan keluarga kini hancur lumat tradisi itu dihapuskan. Entah mengapa ia berlaku. Meski perubahan dunia yang berlaku dahulu pernah mencetuskan kemarahan dan rusuhan besar-besaran menolak bayu modenisasi melampau ini, tetapi kini hanya tinggal kenangan. Mungkin jua mereka sudah tiada upaya untuk melawan kegergasian kerajaan, ataupun mereka yang berdaya juang ini sudah hilang taringnya dek dimamah cacing cinta akan dunia! Namun segalanya tersembunyi hikmah. Modenisasi yang sepatutnya menguntungkan manusia telah bertukar menjadi barah hedonism!

Punat hijau di tepi tingkap ditekannya lemah. Jasad yang semakin hari, menunggu detik pengakhirannya di bumi ini termenung di jendela yang bertindak sendiri terbuka pabila butang hijau itu ditekan. Oh sungguh mudah kerja manusia pada hari ini. Entah bagaimana lagi kehandalan manusia kelak,getus hati insan yang sudah melangkaui separuh abad. Sungguh pantas peralihan masa berlalu. Kerlipan bintang cuba dicarinya. Matanya yang sudah tua, masih lagi selamat dari diselaputi selaput kelabu . Teknologi masakini mampu mengubati segalanya. Ah,bercakap seperti tiada iman! Mampu ia menghalang malaikat maut meskipun tembok setinggi langit diciptakan?Mampu ia menghidupkan jiwa yang tandus dengan cahaya kebahagian yang sebenar. Tidak!! Hati si tua ini kembali bersemangat.

Lamunan panjang itu terhenti dek suara cucunya yang menerjah ruangan pancainderanya. Bibir yang tua ,kekeringan itu cuba senyum menyapa layanan anak remaja  yang sudah terbiasa hidup senang . Begitu susah mencorak kain putih jenama zaman atom ini.. Tangannya yang sudah berkedut menampakkan urat jalur hijau itu mengusap lembut ubun-ubun lantas mengharapkan segalanya yang terbaik buat permata hati. Biarpun cucunya sudah di akhir umur belasan tahun, namun kasih sayangnya tidak pernah kurang.

“Atuk, hari ini atuk tak cerita lagi kisah hidup atuk..” Begitulah rutin harian si tua ini. Memasang semangat ke dalam jiwa anak dan cucunya dari perjuangan lampaunya berhadapan tribulasi yang mencengkam kesejahteraan Negara. Meskipun bukan dirinya yang berada di barisan hadapan dalam membebaskan tanah air yang dahulunya dicengkam penjajah yang membawa kudis kepada pentadbiran Negara hingga kini, namun sedikit sebanyak dirinya membantu meningkatkan semangat sahabat juangnya dengan coretan di bingkai akhbar Melayu.

Alat kawalan jauh dicapai cucunya, Fakhri al Walid. Nama yang diharapkan dapat mengembalikan kedaulatan Islam di bumi bertuah ini.  Skrin besar yang memenuhi dinding ruang keluarga itu terpasang.  Cerita yang memaparkan kelincahan lenggok badan manusia terhinjut-hinjut menari mengikut rentak menjadi santapan mata manusia masa kini. Entah kemana hilangnya siaran agama seperti forum perdana, halaqah, usrah dan sebagainya?? Akta siaran televisyen Negara yang muncul berpaksikan duniawi semata-mata telah membunuh segala macam halwa jiwa, mata dan telinga insan-insan yang dahagakan hiburan Islam.

“ Astaghfirullah..”pantas perkataan itu meluncur keluar dari bibir Fakhri. Segera arahan CLOSE dikeluarkannya dengan garang dan serta merta skrin itu terpadam. Hati sang muda ini turut bergelut kesah sedangkan remaja di zamannya bergembira meneguk kehidupan yang penuh kesenangan. Hiburan,makanan jiwa remaja amat mudah di dapati. Ibarat petik jari semua ada. Muka raut tua si datuk melirikkan senyuman. Berbangga dek kekentalan jiwa remaja ini yang tidak mudah tertewas oleh agenda kebahagian sementara. Kaki Fakhri cepat dibawa pergi ke biliknya bersama niat di hati.  Arahan OPEN bersama kata laluan diberikan, serentak skrin nyalaan biru lazuardi menyinari kamarnya.

“Assalamualaikum sahabat sekalian. Hari ini ana nak buat meeting. Pukul 10 malam tepat kita munaqasyah bersama-sama. Masuk halaman sesawang kumpulan kita bersama kata laluan baru REFORMASI.”

**

Bunyi hentaman muzik masih berkumandang di metropolitan.Masih? Pernahkan ia berhenti?Seperti tidak sesuai perkataan itu digunakan. Jika takdir masa dijadikan 40 jam sehari, selama tempoh itulah ia tetap mengisi corong telinga manusia. Bunyi zikir bergema menghiasi bilik mujahid muda itu, melawan anasir luar yang cuba memahat kalbu. Dirinya masih berteleku di sejadah merah menanti ketibaan sahabat-sahabat seperjuangan di dunia siber. Perjumpaan berteraskan akademik apatah lagi bernadikan keislaman dipantau hebat. Pelbagai cara dan teknologi dihasilkan bagi menjayakan segala tindak-tanduk penguasa Negara. Namun di sebalik kehebatan jentera kerajaan menerbitkan teknologi yang membeliakkan mata rakyat, tetapi tenaga pemuda-pemuda Islam yang masih berbaki ini tidak pernah menyerah pada kekalahan. Biarpun tidak bersekolah di bawah lembayung ajaran pemerintah dunia, tetapi siapa bilang mereka tidak mampu mencipta kejora. Segala teknologi bertaraf tinggi yang mereka hasilkan disembunyikan daripada pengetahuan si pemerintah berkuku besi.

Lafaz bismillah dan kata laluan bertali arus memasuki sistem. Hanya beberapa saat berlalu dari jam sepuluh , semua ahli Gerakan Islamic Youth Cluster (GIYC) memenuhi ruangan maya. Wajah-wajah ahli yang datangnya dari serata pelosok Negara ini, tidak kira di pulau atau di ceruk desa yang membangun, semuanya berkumpul memakbulkan permintaan si ketua yang berdedikasi. Ketepatan masa memang menjadi pegangan mereka. Barang hilang boleh dikembalikan, tetapi masa yang berlalu , tiada gantinya. Seperti biasa perjumpaan dimulakan dahulu dengan tazkirah ringkas dari mana-mana ahli yang ingin berkongsi ilmu. Sejurus lafaz salam pengakhiran dari sahabat seperjuangan mereka, Hizamie yang menyampaikan butir-butir mutiara hikmah selesai, Fakhri memulakan perbincangan.

Kamarnya disinari beratusan skrin yang  memaparkan wajah sahabat-sahabatnya. Satu persatu wajah sahabat muslimin dilihatnya dan dihadiakan senyuman, yang muslimat lengkap bertudung litup hanya sekadar menundukkan kepala ,tanda memberi salam hormat. “Ana bukan berniat untuk mengganggu di lewat malam ini, tetapi ana telah mendapat makluman daripada ayah ana bahawa kerajaan sudah bersiap-siaga mahu melancarkan kempen ‘Gemilangkan  Remaja’. Seperti yang kita maklum ayah ana merupakan salah seorang daripada ahli tertinggi Gerakan Islamic Cluster (GIC) yang dihantar menjadi perisik dalam urusan kerajaan. Biarpun program ini kelihatan sebagai sebuah program yang mencipta wawasan dalam kalangan remaja, tetapi agenda sebenarnya ialah untuk meminimumkan benih kesedaran membaca di kalangan remaja.” Ucapan awal ketua memeranjatkan segenap saraf ahli GIYC. Bagaimana halnya nanti jika buku-buku tidak lagi dijadikan  tatapan remaja sedangkan ianya punca ilmu dicedok. Tetiba suara salah seorang muslimat memecah keharuan. “ Ana rasa bukan lagi saatnya kita terus berjuang dalam senyap. Ana rasa ini detiknya kita bertukar angin daripada metod perjuangan ibu bapa kita yang menjadi barisan dalam GIC.  Mereka telah menanam bekal sejak dari bangku pengajian lagi buat kita menabur bakti dalam jalan juang ini. Ana rasa tema reformasi yang dicetuskan saudara Fakhri menjadi baja buat kita untuk berjuang! Ana sudah tidak sanggup lagi melihat anak muda sebaya kita terkinja-kinja, terawang dalam mimpi indah sementara mereka. Berapa ramai yang kenal  Tuhan, berapa ramai yang kenal kain sejadah, berapa ramai yang mengisi masanya bersama kitab mukjizat terakhir nabi Allah?”kata-katanya tersekat menahan sebak. “Ada benarnya bicara saudari Hafizah itu wahai saudaraku ,Fakhri. Ana dan juga adik ana, Nasri juga baru sahaja bersama-sama talaqqiy ilmu bersama datuk kami, Professor Syeikh Mujahid. Di akhir kalamnya hari ini dia menegaskan pada kami dan juga berpesan menyebarkannya pada antum bahawa Leaders are Readers tetapi ana terasa begitu terkejut menerima laporan dari ayah enta.”Faiz meluahkan bungkam di hati. Fakhri kembali bersuara, “ Ana tidak dapat menjangkakan keburukan dan kehancuran yang bakal berlaku sebagai kesinambungan program ini nanti. Pada mulanya ana berasa gembira dengan perubahan Negara dengan langkah untuk melestarikan pembangunan dalam jiwa remaja, tetapi hancur hati tatkala mendengar agenda yang tersembunyi. Ibu ana, hanya meluahkan sepatah bicara kesal. Katanya tidak sangka cerita khayalan novel kajiannya, Farenheit 451 karya Ryan Bradbury menjadi seperti realiti. Ana bingung kenapa buku mahu dilupuskan dalam pusara derita sedangkan ianya lubuk emas akal manusia!” terpancar riak wajah yang bersungguh-sungguh  lantas menyebarkan semangat dalam jiwa-jiwa anak muda. Lafaz akhir ucapannya disambut kalimah takbir ,mengagungkan kalimah suci.

***

Kelas Usuluddin selesai. Rata-rata teman seperjuangan Fakhri meneruskan pelajaran peringkat tertinggi di benua lain. Yang cenderung ke arah keagamaan, ke timur tengah manakala yang berminat terhadap sains bermusafir ke barat dunia. Tiada yang mustahil untuk dilakukan. Kenderaan berkelajuan tinggi tanpa menggunakan emas hitam bumi yang direka oleh sainstis -sainstis Negara tidak dipersiakan untuk kebaikan. Biarpun teknologi satelit yang dibanggakan kerajaan mampu mengesan semua tindak tanduk manusia, namun kelincahan akal sainstis berjenama GIC mampu mereka alat yang dapat melindungi kenderaan anak-anak muda yang tekun menuntut ilmu ke tempat lain tanpa dikesan oleh kerajaan. Fakhri menggaru kepalanya yang tidak gatal. Pesawat yang dipandunya dikurangkan kelajuan. Dia tidak mahu cepat sampai kerumah. Biarlah dirinya tenang berfikir dalam panorama awan yang memutih. Patah-patah perkataan mutiara yang keluar dari bibir professor Syeikh Sirajuddin ,ulama Negara yang berhijrah ke tanah Arab selepas rentak pemerintahan bertukar wajah itu diingatinya satu persatu. Selepas itu, wajah mulus si gadis pejuang Islam,Nur Sumayyah seakan-akan melahirkan kembali srikandi sehebat Sumayyah di zaman Nabi Allah jua bertandang, namun segera ditepisnya.  “ Ini bukan masanya lagi aku memikirkan soal hati dan perasaan. Masalah umat berada di depan mataku! Apa benar pelan  tindakan baru untuk melakukan reformasi bakal dilaksanakan demi menyelamatkan berlian-berlian yang bakal dirosakkan oleh pihak yang tiada sifat pandang ke depan? Ya Allah, berikanlah kami ilham.”

***

“Atuk dahulu menentang cadangan ayah kamu untuk menubuhkan gerakan ini. Dalam kepala atuk, atuk hanya mahu anak atuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan dan dapat menjawat jawatan tinggi dalam sektor kerajaan. Atuk langsung tidak memikirkan hal sekeliling yang melingkari kehidupan. Namun atuk sedar, kita tidak boleh memandang lesu kebejatan sosial yang melanda Negara kita. Nenek kamu tidak menentang tindakan ayah kamu, malah menggalaknnya lagi. Nenek kamu berjiwa suci. Dia mampu memandang jauh dunia pada masa hadapan. Dia baik. Tapi sayang nyawanya tidak panjang untuk melihat kamu, cucunda yang seorang ini.” Panjang bicara atuk sambil tangannya memegang butir tasbih kayu kokka tinggalan arwah isterinya, Assarah. Bibirnya menggariskan senyuman yang tidak pernah lekang dari wajahnya yang semakin hari, semakin menunjukkan raut tuanya. Fakhri  mengangguk faham, membalas senyuman tanpa berbicara panjang. Ruang keluarga yang dicat hijau kekuningan itu menyaksikan lagi hubungan yang erat keluarga pejuang ini. “ Ayah tiada hiburan untuk dicari, tetapi kehadiran kamu dalam medan ini menerbitkan rasa bangga, gembira dan melakarkan lukisan bahagia ibu dan ayah.Fakhri,  pada mulanya pergerakan ini bergerak bebas, namun kekuatan kami bukanlah sekukuh tembok China yang masih utuh berpasak di bumi untuk menghalang tentangan orang atasan. Lantas kami berpura-pura lumpuh dan meneruskan pelajaran sehingga kami mampu meneroka seperti sekarang. Kami tahu, masa hadapan adalah yang utama. Inilah tunas-tunas yang tumbuh selepas baja kesabaran kami. Bergerak dalam sepi tapi siapa tahu ada duri ditaburnya.”dalam makna yang tersirat. Fakhri cuba merenung patah-patah perkataan itu.

***

“Salam wawasan gagasan gemilang.

Perhatian kepada semua remaja yang berusia 13 hingga 20 tahun, anda diminta mendaftarkan diri di Dataran Expertise pada jam 8 malam,minggu hadapan .Tiada sesiapa dibenarkan diberikan pengecualian daripada mengikuti program kempen ‘Gemilangkan  Remaja’. Arahan ini dikeluarkan oleh Jabatan Pembangunan Remaja .”

Skrin besar televisyen  ditutup. Matanya dipejam rapat. Bukan mudah menjadi seorang ketua. Pelbagai hasil perbincangan menjadi sandaran dalam memutuskan keputusan. Segala gerak kerja disusun kemas. Ya Rabbi, bantulah kami.Doa kudus dipanjatkannya. Atmosfera bumi bertukar warna. Malam menjengah kembali. Encik Naim dan Puan Ratu segera meminta Fakhri bersiap menunaikan solat magrib berjemaah. Pasangan yang menemui jodoh dalam bersama-sama menempuh ujian dalam perjuangan itu bahagia,meski anak yang dikurniakan Ilahi hanya seorang.Usai solat Maghrib diselesaikan, mereka berempat terbang laju menuju pusat perkumpulan gerakan mereka. Tempat itu , bertentangan lautan yang memukau pandangan mata. Biarpun tempat itu strategik di tengah-tengah bandar persisiran lautan itu, namun ia hanyalah laksana sebuah hotel betaraf bintang Zeta Orionis pada pandangan mata manusia yang bukan berada di bawah naungan GIC. Sistemnya yang telah dinaiktarafkan mampu mengaburi mata dan pusat kawalan kerajaan.Tempat inilah dijadikan pusat perjumpaan mega , sambutan hari raya, solat jumaat , akad nikah dan sebagainya.

Perkarangan pusat GIC dipenuhi oleh jiwa-jiwa manusia yang inginkan dunia kembali kepada fitrah. Inilah perjumpaan mingguan yang diadakan agar hati yang bertaut masih terjaga dan dipintal kuat dalam rantaian perjuangan suci. Solat sunat hajat diimami Ustaz Syifa’ berlagu syahdu meruntunkan roh yang mendengar. Bait bicara kalam Allah yang dipetik dari surah at Taubah,ayat 38 hingga 42 membumikan kembali semangat pejuang yang kadang kalanya terawang-awang . Qunut nazilah lantang dibaca, kembali menyedarkan urat saraf bahawa tanggungjawab yang mesti dipikul harus di bawa dengan jayanya.

***

Ucapan ketua tertinggi , Encik Naim mengisi setiap ruang dan ceruk pusat GIC.  Amanat demi amanat di sampaikan kepada barisan GIC sendiri mahupun GIYC.  Baris katanya ringkas dan padat , membiarkan akal cepat menghadam segala butir bicaranya. Kalimah-kalimah ayat suci dilafaznya tenang dalam ucapan semangat beliau.

“Jika boleh cecair semangat juang itu disuntik dan terus mengalir dalam badan manusia, nescaya ramai yang ikut bersama kita tika dahulu. Namun, ianya mustahil dilakukan. Mana mungkin darah panas sang anak muda dicaskan sesenang itu.Mana mungkin jiwa keseronokkan remaja dilenyapkan terus daripada mengisi pundak hati. Tarbiyah dan mehnah berkejaran bertamu pergi. Namun aku bersyukur di sini, sahabat-sahabiahku.Semuanya berkat kesabaran kita bersabar, bergerak dalam diam tapi bisa menggegar  samudera zaman.Bukan kita ini penakut, tetapi inilah cara kita bagi terus memastikan kelangsungan dakwah. Masih lagi ana teringat, bagaimana jerih perih kita menghadapi cabaran sewaktu zaman pengajian dahulu. Getir sekali, namun inilah jalan kita buat masa ini. Lihatlah diri kita dan anak-anak kita yang telah dicanting oleh tangan-tangan kalian. Tidakkah kalian berbangga? Dalam kemelutan ibu bapa lain menguruskan jiwa remaja yang tidak memahami apa itu erti kehidupan sebenar, anak-anak kita mampu berdiri sendiri mencipta jaya dan yang pentingnya Islam masih di hati mereka! Takbir!!” lafaz Allah Akbar menjadi saksi kekentalan semangat mereka yang tidak pernah pudar.  Sejurus ucapan si ayah, anaknya mengambil alih. Benar kata pujangga Melayu, mana tidak tumpahnya lauk , kalau tidak ke nasi.

“ Ana ingin sekali memetik kata-kata novelis terkenal abad 21, Ustaz al Hafiz yang berada di sebelah ayahanda ana. Kata-katanya yang berjaya menyentuh kalbu ana coretkannya di kanvas minda.Aku bukan ulama’ muktabar, yang butir kalimahnya mampu menusuk dada. Aku bukan para habib dan tariqiyyi, yang perilakunya mampu menginjak paradigma manusia. Aku bukan kiai ilmuwan, yang fikirannya mampu menerjah logik minda. Aku bukan kiai Tunggulwulung  yakni Pemegang bendera pusaka istana Jogjakarta, yang gagah perkasa menabur gugah kerana istana. Aku bukan soldadu mukafih Palestina, yang membayangi syahid di depan mata. Aku bukan seteru agama, yang duri, sekam dan haprak terhadap agama sendiri.Aku cuma insan biasa, pelajar samudera, penulis bayang panorama, penghuni sesawang maya, pencari ilmu agama. Paling tidak, aku ingin menjadi seni sarang labah-labah agama, yang menyarang di pintu Gua Hira. Bicara ana ini, bukannya berniat mahu merentap masa encik-encik dan puan-puan serta sahabat-sahabiah sekalian, tetapi di sini ,diri ini mewakili GIYC mahu menyatakan kami ingin melakukan anjakan paradigm dalam generasi kami. Meski kami masih setahun jagung meniti zaman ini, tapi kami berharap, ibu bapa pencetus gerakan ini merestui hasil perbincangan kami dan juga diiringi tunjuk ajar. Tiada langsung niat di hati untuk berpaling daripada cara kalian mencorak jalan perjuangan, tetapi kini zaman mendepani krisis amat mencabar dan dunia mengalami perubahan dan bagi kami , tiada salah kami juga turut bertukar rentak dan cara selagi ianya tidak bertentangan dengan syariat dan tuntutan.” Dewan perbincangan sunyi sepi namun bahang perjuangan panas membara.

****

Suasana di perkarangan di dataran Expertise bertukar corak. Deretan pesawat-pesawat pelbagai bentuk dan tahap teknologi transformasi zaman menghiasi sekitar dataran. Dahulunya ,kata datuk kawasan ini pernah menjadi tempat berlakunya rusuhan yang menghalang isu keterlampauan modenisasi Barat yang menjadi kegilaan akal tampuk pemerintahan. Bukan dihalangnya arus zaman berlalu, tetapi tempias bahana al-Wahn , cintakan dunia sudah memeluk manusia tatkala itu apatah lagi rantaiannya pada masa hadapan?. Ah adakah bakal tercetusnya lagi peristiwa bersejarah itu?Pelbagai ragam remaja mengisi setiap ruang. Satu kerugian amat besar dirasakan. Mereka ini bukannya bodoh tetapi sudah jauh dilarikan kerohanian oleh penculik berjiwa kosong, malap! Remaja yang sepatutnya menjadi aset berguna untuk kegemilangan masa depan, sewenang-wenangnya dijadikan laksana tikus ujikaji di pentas sebenar.

“ Anak-anakku sekalian. Apa khabar? Moga dirimu segar dalam kemajuan teknologi yang membanjiri kita sekarang. Anak-anakku, ayahanda tidak mahu berbicara panjang pada hari ini kerana ayahanda tahu, program hiburan baru sudah dilancarkan.” Lancar tutur kata ketua Negara, berbicara menggunakan pendekatan psikologi ; ilmu yang sudah dibuang dari sistem pendidikan Negara.Sengaja menggunakan perkataan ‘ayahanda’  untuk memancing hati remaja.Tepukan dan sorakan gembira bercantum dengan zarah-zarah udara “ Biarlah ayahanda meluahkan perasaan kasih dan sayang kepada anakanda sekalian. Dahulu , kami pernah merasa susah dengan kedhaifan Negara bersaing menempatkan diri bersama-sama gagasan Negara maju. Nah sekarang.Lihatlah! Usaha kami bukanlah sia-sia dan percuma. Ayahanda tidak mahu lagi anakanda berlama-lamaan menelaah buku-buku yang tiada guna itu! Ilmu yang sudah diajarkan di sekolah itu sudah cukup dan memadai untuk kamu. Hiburkanlah diri kamu wahai anakanda..”Senyuman sinis dilemparkan kepada hadirin yang hadir, terdiam. Lagu yang mengkhayalkan dipasang.

Ahli GIYC mendengarnya bagaikan hempedu yang dipaksa telan ke rongga kerongkong. Pahit untuk ditelan. Bagaikan halilintar memanah jiwa. Kemana hilangnya akal sang pemimpin, membiarkan jiwa anak bangsa dirobek ilmu songsang ciptaan sendiri? Atma-atma intifadha terbit serta-merta dalam jiwa si pemuda-pemuda yang inginkan kebebasan berdiri sendiri tanpa pautan akar berserabut si pemimpin yang sudah berjaya diubah mentalitinya.

Aku tidak boleh terdiam lagi. Sahabat, kita tidak boleh berdiam diri lagi..

Serentak semua ahli mengangguk faham. Mesej dari ketua serta merta sampai dalam alat khas yang direka khas untuk memudahkan jalan kerja mereka. Barisan Muslimat yang bersembunyi di rumah masing-masing turut menerima makluman. Mereka tidak diarahkan untuk turut serta kerana bimbang perwatakan mereka yang masih terpelihara berbanding remaja perempuan yang sudah hilang identiti wanita zaman sebelumnya dikecam. Butang-butang ditekan pantas. Papan kekunci di selaraskan seperti rancangan. Mereka hanya menunggu detik.

Fakhri bingkas bangun dari tempat duduknya. Entah dari mana kekuatan membantunya tegak berdiri. Lantang suaranya mengalahkan ucapan ketua Negara. Lafaz kalimah Tuhan yang terpacul dari bibirnya mengejutkan riak menteri-menteri. Mungkin kerana mereka menganggap remaja sebegitu tidak lagi wujud dalam zaman ini dan segala propaganda mereka langsai tertunai.

“ Saya berdiri, bukanlah untuk berlaku biadap terhadap Tuan, tetapi jika pihak Tuan sendiri sudah biadap dengan kami, apa salah kami membalasnya bukan? Apa erti kesenangan yang Tuan limpahkan kepada kami yang pada hakikatnya semua kurniaan Tuhan? Tuan lupa kepada kepayahan hidup disebabkan kesenangan sementara ini. Hilangnya sensitiviti ingin melihat anak bangsa maju secara benar memaksa Tuan bertindak tanpa berfikir! Apakah Tuan ingin membiarkan kami terus diperbodohkan, menjadi seperti ayam di reban, yang diambil hasilnya tanpa henti dan disembelih tatkala tidak diperlukan lagi? Anda silap! Kami masih bernyawa. Selagi darah ini masih mengalir, selagi itulah rantaian perjuangan suci ini akan terus menyelusuri zaman. Kenapa berjual-beli  zaman hadapan anak bangsa demi kesenangan kalian. Kenapa mesti berkerjasama dengan musuh durjana untuk memewahkan diri kalian!? Kami tidak menghalang berlakunya kemajuan asalkan ia masih tidak menyimpang dari ajaran sebenar.”

Ucapannya terhenti tatkala cip yang tersembunyi pada sisi kacamatanya menerima isyarat gelombang Zinglore yang dituju ke arahnya. Badan tegap yang diwarisi dari ayahnya itu segera melompat turun,mengelak.

Dush!

Ranap dinding di kiri dataran itu musnah. Suasana sepi bertukar tegang! Ya Allah, bantulah kami.Muka para menteri merah padam. Sangkaan remaja yang petah berkata-kata itu menemui ajal meleset.Jiwa sebegini harus dihancurkan! Tentera yang baharu datang dari markasnya siap bersenjata canggih. Mereka tanpa belas cuba menangkap remaja-remaja ini. Namun cubaan demi cubaan tidak berjaya. Sistem perlindungan telah diaktifkan. Tembakan laser tidak mampu menembusi cahaya yang melingkari mereka. Pagar perlindungan cahaya itu diciptakan khas buat DNA pemuda-pemudi. Himpunan yang tidak disertai oleh golongan ibu bapa ini nyata memberikan peluang baik teknologi ini digunakan.  Jasad manusia yang berumur dewasa tidak dapat memasuki kawasan lindungan.Faiz dan Hizamie berteriak kuat meminta semua anak-anak muda yang hadir memasuki kawasan perlindungan tanpa mengira fahaman dan budaya mereka.

Remaja perempuan yang hadir menangis ketakutan manakala yang lelaki bingung tidak berkata-kata. Di luar lingkaran perlindungan, jentera teknologi kerajaan masih bertungkus-lumus memecahkan halangan dan para saintis muda yang diketuai Aiman berkerjasama menstabilkan lingkaran perlindungan agar tidak lemah dihujani serangan musuh. Fakhri cuba menenteramkan keadaan. Diajakknya berfikir sejenak hakikat diri dalam kegawatan keadaan. Mereka semua terdiam bisu mendengar. Seperti bayi yang masih tidak mengerti apa-apa.

Bunyi hentaman kuat menggemparkan suasana. Kelihatan jet-jet pejuang bercalitkan tulisan Allah bersama kami  bertebaran di ruang angkasa. Lafaz kalimah takbir bergema gemilang. Semangat kembali bersinar. Nyata perempuan bukan hanya layak berada di ceruk dapur, tetapi mampu  menabur bakti di medan juang. Arahan menyerah kalah di berikan. Suara Umairah menerjah ke setiap cuping telinga menteri-menteri yang selama ini bongkak mengatur arahan. Seorang lagi mujahidah yang terkenal dengan kehebatannya mengendalikan pesawat, Nuaiemah membaling bola Zaphhire yang mengandungi asap yang mampu memberi kesan pengsan sementara kearah menteri-menteri yang bertempiaran lari menyelamatkan diri.Punat-punat alat di tangan ketua menteri ditekan-tekan. Namun tiada maklum balas.

..::SISTEM DIMATIKAN::..

Merah padam muka berganti pucat ketakutan. Teknologi yang dibanggakan kini dilumpuhkan oleh teknologi ciptaan remaja belasan tahun. Bantuan daripada barisan veteran GIC yang bekerja di pusat kawalan kerajaan sudah mengambil alih sistem. Satu persatu askar yang diharapkan membantu insan berjiwa kecil ini berjaya di tawan. Jet-jet pejuang GIYC dan GIC yang melingkari kawasan memancarkan dari atas , panahan Guard Rigid yang berjaya memerangkap jasad-jasad racun Negara ini . Bantuan yang juga diharapkan diterima daripada Negara bersekutu juga tidak kunjung tiba.Lantas mereka baru menyedari apa ertinya bergantung pada musuh semata-mata  untuk mengayakan poket sendiri. Kosong!

****

Program pengislahan berlangsung. Kelibat anggota GIC dan GIYC memenuhi ceruk Negara. Menabur budi melakukan program pencerahan jiwa selepas dinodai kotoran dunia selama ini. Ulama-ulama yang keluar berhijrah ke Negara asing pulang melaksanakan tanggungjawab di tanah air tercinta. Senyuman jelas kelihatan di bibir pejuang agama. Penat lelah selama ini terbayar. Pentadbiran Negara diambil oleh hierarki GIC.  Ustaz al Hafiz kembali menyusun aksara dalam mindanya yang sudah lama ditinggalkannya bidang itu. “Benarlah jiwa pemuda-pemudi ini tidak dapat dipandang enteng. Sekali bersuara, menggegarkan sanubari. Sekali bertindak, mampu merubah dunia!” kata-kata itu mengakhiri helaian buku barunya. Buku-buku kembali dicetak agar roh ilmu itu kembali dilahirkan di bumi bertuah ini. Anak-anak kecil sudah diserap masuk , dididik dengan cara GIC membentuk pendidikan. Si dewasa, warga tua kembali berjinak-jinak ke masjid.Anak-anak muda yang dahulunya lalai dalam keasyikan duniawi kini berubah rentak hidup.Mereka sudah semakin berani ke hadapan mengaut sebanyak mana ilmu. Tiada lagi siulan nyanyian yang melalaikan bahkan diganti zikir mengingatiNya dan alunan ayat suci dan azan kembali menyapa langit dan angkasa. Jasad-jasad  berohkan haprak yang ditawan dipaksa mengikuti program kesucian diri dan rohani agar terbit rasa keinsafan dalam diri sebelum ajal maut menjemput pergi.  Biarkan dipaksa dahulu agar hati yang keras bisa dilenturkan.

***

Sejadah yang direntangkan dilipat. Kayu kokka di tangannya ditenung dalam. Seketika, air matanya bercucuran mencium pipi tapi pantas diseka jari yang lembut. Suasana bertukar hening. Fakhri kembali mengukir senyuman apabila melihat wajah di hadapannya seperti terpinga-pinga. Mungkin tertanya-tanya kenapa pemilik  jiwa yang kental itu mampu mengalirkan air mata tiba – tiba. “Nur Sumayyah, jangan kau hairan melihatku mengalirkan air mata. Aku tidak mahu menjadi lelaki yang ego tidak bertempat. Air mata ini tanda kesyukuran kau sah menjadi suri hatiku dan menangisi pemergian datukku. Dia tidak sempat melihat diriku menjadi pemimpin seperti hari ini. Itulah yang diimpinya. Sewaktu ku kecil, dia selalu mengusapi ubun-ubunku dan mendoakan diriku menjadi seorang pemimpin pabila dewasa. Doanya dimakbulkan. Tanpa dia yang mencoretkan jiwa bapaku, tanpa mereka yang membentuk diriku, tidak mungkin diriku berada di sini.” Air matanya tumpah lagi. Hari ini ayahnya meletakkan jawatan sebagai pemimpin Negara kerana mengatakan sudah saatnya melihat jiwa pemuda melestarikan pembangunan modal insan dalam kemeriahan pembangunan duniawi. “Jangan hanya memandang dunia seperti kamu yang punya,bersederhanalah” ,kata-kata bapanya disemat rapi…

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Advertisements