“Tiada istilah kegagalan dalam kehidupan.”

Semalam, saya resah dan gelisah. Terasa rona-rona gelap dan suram membaluti diri. Sungguh cepat saya melatah dalam kehidupan ini walhal apa yang ditimpa ke atas bahu ini hanyalah ujian yang sekelumit cuma.

Cuba ditahan air mata ini supaya tidak tumpah, namun hati ini lemah. Sungguh saya adalah insan yang susah menerima erti sebuah kegagalan. Nah benarlah sebuah kata-kata; tatkala kamu berada di tempat tinggi kemudian kamu terjatuh darinya, pasti kesakitan yang amat pedih kamu rasakan. Namun, perlukah saya terus terbaring kaku dibawah tanpa ada kesedaran untuk terus bangkit, menakah kembali anak tangga?

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.” Surah al Baqarah 255,256.

Sedikit… sedikit!

Ujian yang menimpa diri ini, adalah sedikit tetapi kenapa seringkali diri mengeluh kedukaan? Masih jauh ujian yang menimpa ini jika dibandingkan dengan apa yang di alami para Anbiya’. Atau inilah petanda hati masih ragu-ragu dengan apa yang telah dilafazkan dalam lafaz syahadah? Allah tidak akan membiarkan hati ini tidak diuji setelah pengakuan beriman kita berikan ( mafhum daripada surah al al-Ankabut ayat 2)

Sepenuh hati saya mempercayai kata-kata seorang sahabat. Ujarnya , memotivasikan diri dengan mentadabbur ayat suci sangat bermakna. Teringat apa yang telah saya pelajari dalam kelas Dirasaat ayaatul mukhtaraah min al Quran tentang kisah yang terkandung dalam surah Yusuf. Sungguh mempersonakan.

Setelah kewafatan bapa saudara dan isteri Nabi Muhammad yang tercinta, Khadijah, baginda amat berdukacita. Terasa kesedihan yang dalam kerana insan yang selama ini menjadi tulang belakang Rasullulah pergi menemui Allah dan tahun itu dikenali sebagai tahun kesedihan.

Allah itu maha pemurah dan penyayang.

Dalam kesedihan itu, Allah telah menurunkan kisah Nabi Yusuf kepada baginda untuk menjadi penghibur hatinya dan sebagai sumber motivasi buat baginda s.a.w. Jelas dalam surah ini, Allah menceritakan rentetan sirah kehidupan Nabi Yusuf yang dipenuhi ujian dan dugaan.

Tidak dapat dibayangkan jika kehidupan saya menerima ujian sebegitu; dibenci adik-beradik kemudian ditinggalkan di dalam telaga di dalam hutan, dipungut musafir dan dijual kepada pembesar Mesir. Ujiannya tidak terhenti disitu malah ditambaha dengan terpaksa menerima fitnah sang wanita kemudian dipenjarakan. Naratif kehidupan manusia laksana roda. Dalam ketabahan dan kesusahan itu, Allah telah menyediakan tempat yang terbaik buat baginda kelak. Nabi Yusuf telah menjadi salah seorang pembesar negara dan akhirnya baginda bersatu kembali bersama keluarganya.

Dari satu sudut lain, ayahanda baginda , Nabi Yaakub a.s turut diuji dengan ujian yang berat. Kehilangan seorang anak dan menanggung kerinduan sehingga buta matanya, namun baginda masih bersabar dengan perangai busuk anak-anaknya.  Akhirnya kesabaran itu terbayar. Dan yang paling utamanya, terserlah kebergantungan mereka kepada Ilahi secara mutlak.

Surah Yusuf ini, begitu damai sekali untuk dibaca. Ayatnya mampu menyinggah jiwa yang resah dan susun katanya mempersonakan telinga untuk diterima.

Dalam fatrah Ramadan yang berlalu ini, saya sempat mengendalikan program bersama sahabat-sahabat lain, berkunjung ke rumah jagaan orang tua Al Ikhlas, Puchong. Pelbagai cerita dan pengalaman hidup yang dikongsi, ada yang sedih ada yang hiba.

Ingin saya kongsi apa yang saya perolehi daripada seorang datuk yang saya kira umurnya sudah memasuki gerbang 60-an. Katanya, dia bersyukur ditimpa musibah (sakit) kerana ia memabawanya kembali kepada Tuhan. Usah merungut kenapa dan kenapa, kerana segalanya ada hikmah.

Jangan sesekali mengatakan Allah membalas kepadamu, kerana Allah itu maha penyayang, pengasih dan pengampun. Musibah yang diterima itu adalah hukuman, kerana ia adalah sunnatullah.

Saya ibarat terketuk di minda, terusik di jiwa. Benar kata datuk ini. Ini mungkin teguran dari Allah. Gagalnya saya sekali, bukan selamanya akan terus terperosok di bawah tetapi ini adalah hukuman atas kelalaian saya mengendalikan kehidupan.

Advertisements