Sesungguhnya di sisi Allah itu ilmu tentang kiamat, dan dialah yang munurunkan

hujan dan mengetahui apa yang ada dalam Rahim.   Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan besok. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh Allah maha mengetahui, maha mengenal.

Teringat saya pada surah Luqman ayat 34 ini. Ya Allah, sungguh kelelahan saya pada hari semalam. Tiada yang menduga akan terjadi seperti apa yang saya alami. Sungguh, petanda untuk hari esok, tiada siapa yang dapat mengetahuinya kecuali zat Allah yang esa.

Baharu sahaja kelmarin saya bermusafir dari Kuala Terengganu menuju ke pusat asasi UIAM Nilai, tempat saya meneruskan pengajian. Setelah hampir lapan jam perjalanan bermula jam 11 malam, saya tiba dengan selamat pada pukul 8 pagi.

Tengahari, tetapi tika itu agak sejuk dan damai, saya menerima satu panggilan dari adik. Katanya, doktor memberitahu nenek sudah tiada harapan untuk sembuh. Saya tersentak dan terus bingkas bangun. Saya cukup kewalahan dan bingung. Baharu sahaja sampai dan mahu pulang lagi? Allah.. Ujaran dari sahabat saya pertimbangkan. Saya gagahkan diri untuk pulang.

Kasih Allah ada di mana-mana. Ibu kepada teman sebilik menawarkan diri untuk menghantar saya ke stesen Putra. Saya menyatakan rasa segan dan menyusahkan kepadanya, tetapi dia segera mematahkan kata-kata saya. Bilangnya, kita tidak tahu bilakah hari susah kita dan biarlah kita menolong orang yang susah dikala kita senang.

Dari rumah makcik  itu, saya menaiki teksi yang dipanggilnya. Kata Mak Cik, itu saudaranya. Saya agak terkejut mendengar cerita Mak Cik tentang pakcik teksi ini. Dia sebenarnya telah mendapat Master tetapi memandu teksi. Orangnya agak warak. Waktu solatnya sangat terjaga. Dia akan berhenti di mana-mana masjid pada waktunya.

Tatkala saya sendiri bertemu dengannya, saya dapati wajahnya sangat tenang. Dia seorang yang sangat biasa, berkain pelekat dan berselipar. Anak perempuannya setia menemaninya di sebelah.

Dia bertanyakan saya nama, asal, sekolah lama, jurusan dan segala macam persoalan lain. Mendengar sahaja kondisi nenek saya, dia terus mengucapkan Innalillah. Ya Allah, sungguh saya terlupa untuk menyebutnya tatkala mengetahui nenek ditimpa musibah.

155. dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda,jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.

156.(iaitu) orang-orang yang bila ditimpa musibah, mereka berkata innalillahiwainnailahirajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)

157.mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Setelah itu ada beberapa zikir yang kedengaran dari bibirnya. Dia ada menyoal lagi tentang cita-cita saya. Saya hanya menjawab, mahu jadi pensyarah.

“Mengapa mahu jadi pensyarah?”

“Kerana saya mahu berkongsi ilmu dengan orang lain.” Pantas saya menjawab, lagak seperti sudah menghafal ayat itu. dalam hati, benarkah itu yang saya inginkan? Saya hanya membiarkan ia berlalu dari cepu minda.

Sejurus itu, pakcik itu mula berkata-kata. Dia memberitahu cari ilmu kerana taqwa. Jangan mencari kerana nama, duit, pangkat dan dunia! Jika kerana dunia, kamu akan binasa.

Ya benar kata-katanya. Saya terus mengoreksi diri sendiri. Adakah saya sebegitu? Ah mungkin benar kata-katanya. Lantas saya teringatkan peperiksaan yang bakal saya hadapi tidak lama lagi. Apakah nilai menuntut ilmu yang saya dapat itu hanyalah sekadar untuk menaburnya pada hari ujian?

Saya terus tunak mendengar ocehannya.

“Allah memberikan Nabi Muhammad itu ilmu. tetapi apakah dia dapat? Kehinaan, kesusahan.”

“Siti Khadijah, orangnya kaya raya. Tetapi setelah mendapat ilmu Islam segala hartanya tiada”

Banyak lagi nama-nama sahabat lain disebutnya. Saya mengangguk faham. Ilmu yang sebenarnya diperolehi untuk menghidupkan ketaqwaan kepada Allah. Taqwa dengan sebenar taqwa.

Banyak orang berilmu, tetapi tiada taqwanya. Memberi ceramah sini dan sana, tetapi dalam hatinya tiada taqwa.

“Jangan cari ilmu kerana dunia.” Ayat itu diulangnya berulang kali.

“Kamu belajar kerana taqwa. Sebarkan untuk agama Allah , jangan kerana dunia. Amalkan al fatihah sebanyak 20kali setiap kali solat fardu, nescaya kamu akan mendapat pemahaman ilmu yang baik, berbeza daripada insan lain.”

Oleh kerana saya pulang secara mengejut, perasaan bimbang tiket bakal kehabisan amat menggangu jiwa. Mungkin sahaja lelaki itu bisa menghidu perasaan saya, dia menyarankan saya agak berzikirlah sebelum ke kaunter. Insyaallah, yang maha Esa akan menolong. Sebelum saya keluar dari keretanya, sempat dia memberikan saya beberapa helain kertas yang mengandungi doa dan zikir untuk diamalkan. Sesungguhnya ilmu Allah itu ada di mana-mana. Ikutlah pada kita yang menilai sesuatu.

 

 

Advertisements