Igauan semalam

Entah apa yang memberat di hati, entah apa yang bertakung di hati… biarkanlah ia berlalu pergi, tanpa perlu untuk menoleh lagi…

Kerana semalam,

Aku mahu bangkit kembali,

Dari kelelahan yang membusung,

Entah di mana damainya…

Kerana semalam,

Air mataku gugur, berderai,

Melampiaskan dimensi realiti dan ilusi,

Antara benar dan khayalan,

Antara sedar dan mimpi…

Kerana semalam,

Segalanya ku cuba untuk lupakan,

Kerana tiada daya,

Untukku menangkisnya,

Untukku tempuhinya…

Kerana semalam,

Tawajuh cinta ku hamparkan buatNya,

Agarku kekal disini,

Tanpa bayangan halilintar,

Yang membelah sukma..

gadis itu

sempat saya melakarkan stanza-stanza puisi yang tidak seberapa sewaktu melepaskan sebentar kelelahan di pundak fikir dan beban. khas buat sahabat yang menemani saya ketika itu, Wan Hidayatun Mardhiah..🙂

 

[gambar di atas tiada kaitan hidup dan mati]

Gadis itu leka termenung,

Dalam gerimis senja yang menemani,

Menyuburkan  kesyahduan,

Membuahkan kesyukuran..

 

Galak matanya menatap lukisan alam,

Mencoretkan puisi ketenangan,

Meleraikan derita yang bertamu di hati,

Dalam siulan langkisau kehidupan,

 

Gadis itu leka mentafsir,

Segala madah ujian yang bersimpongan,

Sedang insan lain tersadung rebah,

Dalam memahami siratan makna kehidupan,

 

Gadis itu masih di situ,

Masih kekal dengan garisah damainya,

Meski gerimis telah berubah hujan.

Laman ilmu tiada sempadan

Sesungguhnya di sisi Allah itu ilmu tentang kiamat, dan dialah yang munurunkan

hujan dan mengetahui apa yang ada dalam Rahim.   Dan tidak seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakan besok. Dan tidak ada seorang pun yang mengetahui di bumi mana dia akan mati. Sungguh Allah maha mengetahui, maha mengenal.

Teringat saya pada surah Luqman ayat 34 ini. Ya Allah, sungguh kelelahan saya pada hari semalam. Tiada yang menduga akan terjadi seperti apa yang saya alami. Sungguh, petanda untuk hari esok, tiada siapa yang dapat mengetahuinya kecuali zat Allah yang esa.

Baharu sahaja kelmarin saya bermusafir dari Kuala Terengganu menuju ke pusat asasi UIAM Nilai, tempat saya meneruskan pengajian. Setelah hampir lapan jam perjalanan bermula jam 11 malam, saya tiba dengan selamat pada pukul 8 pagi.

Tengahari, tetapi tika itu agak sejuk dan damai, saya menerima satu panggilan dari adik. Katanya, doktor memberitahu nenek sudah tiada harapan untuk sembuh. Saya tersentak dan terus bingkas bangun. Saya cukup kewalahan dan bingung. Baharu sahaja sampai dan mahu pulang lagi? Allah.. Ujaran dari sahabat saya pertimbangkan. Saya gagahkan diri untuk pulang.

Kasih Allah ada di mana-mana. Ibu kepada teman sebilik menawarkan diri untuk menghantar saya ke stesen Putra. Saya menyatakan rasa segan dan menyusahkan kepadanya, tetapi dia segera mematahkan kata-kata saya. Bilangnya, kita tidak tahu bilakah hari susah kita dan biarlah kita menolong orang yang susah dikala kita senang.

Dari rumah makcik  itu, saya menaiki teksi yang dipanggilnya. Kata Mak Cik, itu saudaranya. Saya agak terkejut mendengar cerita Mak Cik tentang pakcik teksi ini. Dia sebenarnya telah mendapat Master tetapi memandu teksi. Orangnya agak warak. Waktu solatnya sangat terjaga. Dia akan berhenti di mana-mana masjid pada waktunya.

Tatkala saya sendiri bertemu dengannya, saya dapati wajahnya sangat tenang. Dia seorang yang sangat biasa, berkain pelekat dan berselipar. Anak perempuannya setia menemaninya di sebelah.

Dia bertanyakan saya nama, asal, sekolah lama, jurusan dan segala macam persoalan lain. Mendengar sahaja kondisi nenek saya, dia terus mengucapkan Innalillah. Ya Allah, sungguh saya terlupa untuk menyebutnya tatkala mengetahui nenek ditimpa musibah.

155. dan kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta benda,jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang yang sabar.

156.(iaitu) orang-orang yang bila ditimpa musibah, mereka berkata innalillahiwainnailahirajiun (sesungguhnya kami milik Allah dan kepada Allah jualah kami kembali)

157.mereka itulah yang memperoleh keampunan dan rahmat dari Tuhannya, dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Setelah itu ada beberapa zikir yang kedengaran dari bibirnya. Dia ada menyoal lagi tentang cita-cita saya. Saya hanya menjawab, mahu jadi pensyarah.

“Mengapa mahu jadi pensyarah?”

“Kerana saya mahu berkongsi ilmu dengan orang lain.” Pantas saya menjawab, lagak seperti sudah menghafal ayat itu. dalam hati, benarkah itu yang saya inginkan? Saya hanya membiarkan ia berlalu dari cepu minda.

Sejurus itu, pakcik itu mula berkata-kata. Dia memberitahu cari ilmu kerana taqwa. Jangan mencari kerana nama, duit, pangkat dan dunia! Jika kerana dunia, kamu akan binasa.

Ya benar kata-katanya. Saya terus mengoreksi diri sendiri. Adakah saya sebegitu? Ah mungkin benar kata-katanya. Lantas saya teringatkan peperiksaan yang bakal saya hadapi tidak lama lagi. Apakah nilai menuntut ilmu yang saya dapat itu hanyalah sekadar untuk menaburnya pada hari ujian?

Saya terus tunak mendengar ocehannya.

“Allah memberikan Nabi Muhammad itu ilmu. tetapi apakah dia dapat? Kehinaan, kesusahan.”

“Siti Khadijah, orangnya kaya raya. Tetapi setelah mendapat ilmu Islam segala hartanya tiada”

Banyak lagi nama-nama sahabat lain disebutnya. Saya mengangguk faham. Ilmu yang sebenarnya diperolehi untuk menghidupkan ketaqwaan kepada Allah. Taqwa dengan sebenar taqwa.

Banyak orang berilmu, tetapi tiada taqwanya. Memberi ceramah sini dan sana, tetapi dalam hatinya tiada taqwa.

“Jangan cari ilmu kerana dunia.” Ayat itu diulangnya berulang kali.

“Kamu belajar kerana taqwa. Sebarkan untuk agama Allah , jangan kerana dunia. Amalkan al fatihah sebanyak 20kali setiap kali solat fardu, nescaya kamu akan mendapat pemahaman ilmu yang baik, berbeza daripada insan lain.”

Oleh kerana saya pulang secara mengejut, perasaan bimbang tiket bakal kehabisan amat menggangu jiwa. Mungkin sahaja lelaki itu bisa menghidu perasaan saya, dia menyarankan saya agak berzikirlah sebelum ke kaunter. Insyaallah, yang maha Esa akan menolong. Sebelum saya keluar dari keretanya, sempat dia memberikan saya beberapa helain kertas yang mengandungi doa dan zikir untuk diamalkan. Sesungguhnya ilmu Allah itu ada di mana-mana. Ikutlah pada kita yang menilai sesuatu.

 

 

Bayi dalam dakapan jalur gemilang.

Tiada hadiah mampu saya berikan kepada sahabat-sahabat yang lahir pada tarikh hari ini. cuma beberapa stanza kata-kata yang boleh saya nukilakn. Selamat Hari Lahir dan Salam Kemerdekaan.

Dalam gegak gempita,

Lafaz keramat lantang dilaungkan,

Ada suara nyaring merintih sengsara,

Menahan derita memberi kehidupan,

Mengalirkan mutiara jernih ke bumi merdeka,

Bersama harapan dan ketakutan.

Saat insan lain mengucapkan syukur,

Atas nikmat tanah yang bebas,

Ada insan yang menangis kegembiraan,

Setelah darah dari kasih dia tumpah,

Bersama jasadmu yang suci.

Kini dia telah dewasa,

Biar digelar anak merdeka,

Dia tidak mahu hanya jiwa yang bebas,

Tetapi minda masih dicengkam polisemi palsu,

Biarlah kental di luar, tegas di dalam,

Mahu dia menempah kehidupan,

laksana sang perwira bangsa,

Penggegar pemuda Islam.

When it appears..

Sebuah sajak dalam bahasa inggeris yang saya gagahi jua membentuknya. entah benar atau tidak tatabahasanya, saya tidak peduli. asalkan saya ada upaya untuk membuatnya. Salam Aidilfitri buat semua.

Tired and exhausted,

Moaning and complaining,

Gallant and fervent,

Missing and waiting,

Now,

Everything gone…

In this end of the days,

I’m looking into the heart of sky,

The tears of moon seen,

Transmuting the universe of triumph,

For a short while,

The core of soul shaken,

Takbir , hamdallah heard,

Occupying the atmosphere,

Fertilize the sanctity of nature..

Feel the sacred flashing,

Deep in the heart,

May this Aidilfitri,

Bear the fruit of humbleness,

Enlighten the path,

Onto the last terminus.

sebuah naratif baharu bermula

                “Tiada istilah kegagalan dalam kehidupan.”

Semalam, saya resah dan gelisah. Terasa rona-rona gelap dan suram membaluti diri. Sungguh cepat saya melatah dalam kehidupan ini walhal apa yang ditimpa ke atas bahu ini hanyalah ujian yang sekelumit cuma.

Cuba ditahan air mata ini supaya tidak tumpah, namun hati ini lemah. Sungguh saya adalah insan yang susah menerima erti sebuah kegagalan. Nah benarlah sebuah kata-kata; tatkala kamu berada di tempat tinggi kemudian kamu terjatuh darinya, pasti kesakitan yang amat pedih kamu rasakan. Namun, perlukah saya terus terbaring kaku dibawah tanpa ada kesedaran untuk terus bangkit, menakah kembali anak tangga?

“Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.” Surah al Baqarah 255,256.

Sedikit… sedikit!

Ujian yang menimpa diri ini, adalah sedikit tetapi kenapa seringkali diri mengeluh kedukaan? Masih jauh ujian yang menimpa ini jika dibandingkan dengan apa yang di alami para Anbiya’. Atau inilah petanda hati masih ragu-ragu dengan apa yang telah dilafazkan dalam lafaz syahadah? Allah tidak akan membiarkan hati ini tidak diuji setelah pengakuan beriman kita berikan ( mafhum daripada surah al al-Ankabut ayat 2)

Sepenuh hati saya mempercayai kata-kata seorang sahabat. Ujarnya , memotivasikan diri dengan mentadabbur ayat suci sangat bermakna. Teringat apa yang telah saya pelajari dalam kelas Dirasaat ayaatul mukhtaraah min al Quran tentang kisah yang terkandung dalam surah Yusuf. Sungguh mempersonakan.

Setelah kewafatan bapa saudara dan isteri Nabi Muhammad yang tercinta, Khadijah, baginda amat berdukacita. Terasa kesedihan yang dalam kerana insan yang selama ini menjadi tulang belakang Rasullulah pergi menemui Allah dan tahun itu dikenali sebagai tahun kesedihan.

Allah itu maha pemurah dan penyayang.

Dalam kesedihan itu, Allah telah menurunkan kisah Nabi Yusuf kepada baginda untuk menjadi penghibur hatinya dan sebagai sumber motivasi buat baginda s.a.w. Jelas dalam surah ini, Allah menceritakan rentetan sirah kehidupan Nabi Yusuf yang dipenuhi ujian dan dugaan.

Tidak dapat dibayangkan jika kehidupan saya menerima ujian sebegitu; dibenci adik-beradik kemudian ditinggalkan di dalam telaga di dalam hutan, dipungut musafir dan dijual kepada pembesar Mesir. Ujiannya tidak terhenti disitu malah ditambaha dengan terpaksa menerima fitnah sang wanita kemudian dipenjarakan. Naratif kehidupan manusia laksana roda. Dalam ketabahan dan kesusahan itu, Allah telah menyediakan tempat yang terbaik buat baginda kelak. Nabi Yusuf telah menjadi salah seorang pembesar negara dan akhirnya baginda bersatu kembali bersama keluarganya.

Dari satu sudut lain, ayahanda baginda , Nabi Yaakub a.s turut diuji dengan ujian yang berat. Kehilangan seorang anak dan menanggung kerinduan sehingga buta matanya, namun baginda masih bersabar dengan perangai busuk anak-anaknya.  Akhirnya kesabaran itu terbayar. Dan yang paling utamanya, terserlah kebergantungan mereka kepada Ilahi secara mutlak.

Surah Yusuf ini, begitu damai sekali untuk dibaca. Ayatnya mampu menyinggah jiwa yang resah dan susun katanya mempersonakan telinga untuk diterima.

Dalam fatrah Ramadan yang berlalu ini, saya sempat mengendalikan program bersama sahabat-sahabat lain, berkunjung ke rumah jagaan orang tua Al Ikhlas, Puchong. Pelbagai cerita dan pengalaman hidup yang dikongsi, ada yang sedih ada yang hiba.

Ingin saya kongsi apa yang saya perolehi daripada seorang datuk yang saya kira umurnya sudah memasuki gerbang 60-an. Katanya, dia bersyukur ditimpa musibah (sakit) kerana ia memabawanya kembali kepada Tuhan. Usah merungut kenapa dan kenapa, kerana segalanya ada hikmah.

Jangan sesekali mengatakan Allah membalas kepadamu, kerana Allah itu maha penyayang, pengasih dan pengampun. Musibah yang diterima itu adalah hukuman, kerana ia adalah sunnatullah.

Saya ibarat terketuk di minda, terusik di jiwa. Benar kata datuk ini. Ini mungkin teguran dari Allah. Gagalnya saya sekali, bukan selamanya akan terus terperosok di bawah tetapi ini adalah hukuman atas kelalaian saya mengendalikan kehidupan.

Dimensi Kebebasan

   HEBOH diumumkan, aidilfitri tahun ini awal sehari daripada tarikh kemerdekaan negara. Kanak-kanak tersenyum gembira mendengar titah ucapan dari kerabat Diraja menzahirkan tarikh jatuhnya aidilfitri. Baju-baju raya telah siap bergantungan, diseterika. Mercun diletupkan anak-anak kecil sambil berkejaran bermain bunga api. Ada yang menyanyi lagu raya dan tidak kurang juga menyanyikan lagu kemerdekaan. Sungguh gamat tahun ini. Dua perayaan disambut hampir.

Dalam meriah itu ada sepinya juga. Masih ada yang tidak memahami erti sebenar aidilfitri dan kemerdekaan. Pergilah tanya kepada sesiapa, pasti jawapan yang diperolehi berbeza-beza. Yang diketahui secara umumnya, aidilitri itu datangnya setelah Ramadan berlalu manakala kemerdekaan negara jatuhnya pada setiap 31 Ogos setiap tahun setelah tahun 1957 diisytiharkan tarikh keramat itu.

• Benarkah Syawal hanya sekadar menyarung pakaian baru,mencari buluh untuk dibuat lemang dan ziarah-menziarahi sambil mengutip duit raya?

• Benarlah warga di luar sana menyanjungi sifat patriotisme anda kerana dirimu gah melayarkan Jalur Gemilang bersama laungan kemerdekaan?

• Aidilfitri bermakna kembali kepada fitrah, bebas. Kemerdekaan juga bermakna bebas. Bukankah itu persamaan?

• Tepatkah makna kedua-duanya itu didefiniskan? Entahlah, biarlah apa pun yang hendak ditafsirkan. Bukannya penting. Tiada isu lainkah?

• Kenapa tidak tiada, mestilah ada. Petunjuknya, kebebasan.

• Isu remeh!

• Sudah, mari bertemu Pak Latip sebentar.

2

                    PAK LATIP. Dia ini seorang lelaki yang sudah menjangkau umur lebih dari separuh abad. Kerjanya sebagai petani setelah lama bersara menjadi askar wataniah. Badannya masih tegap biarpun usia menjamah tubuh badannya. Kesihatannya juga dalam kondisi yang baik. Jarang dilihat orang tua itu sakit-sakit seperti sahabat-sahabat seusia dengannya.

Tinggalnya sebatang kara. Bukan tidak mahu kahwin, tetapi katanya tiada jodoh. Entah apa yang difikirkan, hanya Tuhan sahaja yang mengetahui. Kehidupannya mudah. Jiran-tetangga tidak memahami tabiat si tua ini. Namun tidak dihirau mereka, asalkan tidak ada yang disusahkan dan menyusahkan.

Didiaminya rumah kayu yang sederhana saiznya itu keseorangan, di tengah-tengah kampung tanahnya terletak. Masih segar ciri-ciri warisan dikekalkan pada setiap sudut rumahnya. Dari jauh, reka bentuk bumbung tradisional yang terkenal dengan bumbung lima itu dapat dilihat. Yang memandang buat kali pertama pasti menoleh lagi untuk melihat. Masakan tidak, hampir semua rumah disekelilingnya sudah bertukar wajah persis banglo kolonial Inggeris.

Di sini, ruangan halaman rumahnya dipenuhi bendera negara. Pelbagai saiz. Seakan-akan memugari kawasan rumahnya itu. Cukup sayang dia pada bendera-bendera yang terpacak itu. Cukup damai baginya melihat kibarannya tatkala angin yang menyapa.

Ada lagi kisah tentangnya. Setiap hari, pasti dia akan menatap gambar lama yang tergantung di ruang tamu rumahnya. Seakan-akan mendapat semangat tatkala melihatnya. Dalam gambar itu tersusun dua baris susunan sosok manusia yang berpakaian askar. Mungkin itu gambar zaman mudanya dahulu. Juga disebelah gambar itu, ada potret gadis yang ayu. Masih utuh tergantung tetapi gambarnya sudah mulai pudar. Gadis itu, memakai selendang tetapi masih terlihat rambutnya lurus dan panjang. Anggun mengenakan baju kurung putih sambil bersimpuh di atas tikar mengkuang. Tersenyum dia melihat gadis itu dan kemudiannya terus memalingkan muka ke arah lain, seakan-akan cuba melupakan satu nostalgia lama. Entah siapa dia kepada Pak Latip- kita pun tidak ambil tahu.

Apa yang menariknya, dia disenangi anak-anak kecil. Gemar sekali dia bercerita kepada kanak-kanak yang datang singgah ke rumahnya. Biarpun wajahnya tampak garang, tetapi hatinya murni. Setiap anak-anak kecil yang datang, pasti disuntiknya cerita dia bersama teman-temannya mempertahankan negara dahulu. Semangat dan berkobar-kobar. Pasti kanak-kanak yang sanggup melayani celotehnya ditunjuknya kenangan-kenangan zaman silamnya. Masih ada lagi senapang yang digunakannya, tetapi gadis dalam gambar itu masih menjadi rahsia abadinya dan tiada siapa berani menyoalkannya.

• Bila dewasa nanti, jadi askar ya!

• Kenapa perlu lagi menjadi askar?

• Kerana kita perlu mempertahankan negara kita daripada dijajah lagi, cucuku! Merdeka! Merdeka!

• Uhh!

Sungguh dalam erti kemerdekaan negara buat dirinya. Penat anak-anak kecil itu mendengar, pasti ditinggalkan orang tua itu keseorangan lagi. Tak mengapa Pak Talib. Esok lusa, tentunya datang lagi. Jika kesepian, termenung si tua ini mengingatkan cucu angkatnya.

3

AHMAD SYAWAL. Ini dia cucu angkat si tua itu. Diambilnya sebagai cucu sejak dia berusia darjah lima. Semuanya gara-gara Pak Talib ternampak Ahmad memasang bendera Malaysia pada basikalnya. Pantang dilihatnya orang yang bersemangat sepertinya, pasti di bibirnya akan terukir senyuman. Bangga, barangkali.

Kini,umurnya pula sudah menjejaki awal 20-an. Dia baharu sahaja menjadi seorang graduan di salah sebuah universiti di benua barat. Selalu sahaja zaman kanak-kanaknya dia menemani orang tua itu di anjung rumah, mendengar cerita. Keluarganya tidak kisah dia bergaul mesra dengan Pak Talib. Sekurang-kurangnya ibu dan ayahnya tahu dia tidak menghabiskan masa bersama kanak-kanak nakal.

Si jejaka ini akhirnya pulang juga ke tanah air setelah merangkul ijazah kedoktoran. Pulangnya disambut meriah oleh orang kampung. Mana tidak meriahnya, tumbang dua ekor lembu jagaan Tok Hasan, ketua kampung. Sambutannya mengalahkan kenduri kahwin. Dia tidak terlalu banyak berubah, cuma tubuh badan agak naik beratnya. Makan gaya orang putih katakan.

• Seronok berada di negara penjajah?

• Bahagia sahaja. Negara mereka sangat hebat. Oh, atuk! Semakin banyak bendera di halaman rumah ini.

• Semestinya! Tarikh kemerdekaan semakin hampir. Sudah lupakah kamu?

• Tak, tetapi saya lebih mengingati tarikh Syawal.

• Aku juga tidak melupakannya tetapi jangan ditinggalkan juga tarikh keramat ini, cucuku.

Dia, Ahmad masih muda darahnya. Jiwa yang masih inginkan keseronokkan. Tidak difikirkannya tarikh kemerdekaan atau tidak. Raya tetap raya. Sudah terbayang makanan seperti lontong, ketupat, rendang. Kecur air liurnya membayangkan makanan tradisi itu.

4

                         Kebebasan adalah hak Pak Talip. Kebebasan juga hak milik Ahmad Syawal. Bagi Pak Talip yang merupakan antara pejuang penuntut kemerdekaan tanah air pasti selamanya utuh di hatinya semangat dan erti kebebasan dari musuh negara. Manakala bagi Ahmad Syawal, cukup hanya sekadar mengetahui, negara ini sudah bebas. Tiada lagi zaman darurat dan diperintah oleh penjajah seperti yang dipelajarinya di bangku sekolah dahulu.

• Esok raya, Atuk Talip!

• Ya, lusanya pula hari kemerdekaan,cucuku.

• Usah dikisahkan tentang kemerdekaan itu lagi. Esok kita berseronok dan menziarahi sanak saudara. Pasti perut ini penuh dengan makanan yang sedap.

• Tetapi aku mahu ke Dataran Merdeka.

• Dataran Merdeka?? Untuk apa?

• Usah banyak soal, temani aku.

Setelah solat subuh, dingin aidilfitri masih terasa meski sehari telah berlalu. Usai sahaja menjamah rendang dan ketupat, maka bertolaklah mereka. Kereta Proton yang dipandu Ahmad Syawal itu dipasang bendera. Berkibar-kibar dibawa angin laju. Gah rasanya di hati orang tua itu.

Masih segak lelaki tua itu bergaya, tetapi agak keterlaluan semangatnya; berbaju melayu berlatarkan warna-warna jalur kemerdekaan. Hendak sahaja si anak muda itu menolak permintaan datuknya itu ke Dataran Merdeka. Tidak pernah dibuat orang berhari raya di sana. Uh, mengacau sahaja orang tua ini! Entah apa yang mahu dibuatnya di sana.

Setibanya mereka, semua pemilik mata yang masih rebung usianya itu melihat mereka. Ada yang tergelak, dan memandang sinis. Si tua itu terdiam sepi. Senyap tiada terkata. Di setiap ceruk, si muda mudi berpeleseran, tiada haluan dan tujuan. Itu sahaja pemandangannya. Tidak hormatkah pada bendera yang berkibar? Tidak malukah pada hari kemenangan umat Islam ini?

Mereka bebas dan tidak terkawal. Memakai pakaian yang menyesakkan pandangan. Yang termakhfi menjadi zahir. Lelaki dan perempuan berwajah seperti hilangnya identiti Melayu, apatah lagi Islam. Sedih si tua melihatnya dan tertunduk si anak muda, kesal. Bukankah hari ini Syawal dan hari kemerdekaan. Tidak menghayatikah mereka?

• Inikah kemerdekaan datukku?

• Bukan ini yang aku harapkan. Sungguh penjajah itu masih hidup di hadapanku sekarang!

• Dimana? Tunjukkan, ingin saya lihatnya juga.

• Nun di sana. Bukankah mereka itu ikon penjajah. Masih dibelenggu pemikiran mereka. Masih tidak merdeka mereka daripada digasak nafsu setelah Ramadan berlalu.

Berlalu Pak Talip dan Ahmad Syawal. Masing-masing bungkam, masih merenung sedalamnya erti sebenar merdeka dan aidilfitri. Kedua-duanya kaku dan beku. Seketika ada suara yang memecahnya.

• Jika ini hasilnya jika aku mempertahankan negara, pasti tidak aku bersungguh-sungguh dahulu.

• Bukannya salah kebebasan, tetapi kerana pesongnya iman manusia memandu kehidupan.

• Erm, benar kalammu, cucuku. Ah, sedih hatiku, Syawal!

• Apa lagi yang bermain di fikiran itu, luahkan datukku.

• Kisah lama cucuku.

• Bukankah dirimu tidak lokek berkongsi?

• Dahulu Melur, kekasihku mati mempertahankan diri dek nafsu serakah si pengganas. Tetapi lihatlah sekarang, masing-masing menjadi sebahagian daripada mereka. Lelaki dan perempuan, sama sahaja! Sungguh pedih hatiku.

5

Di rumah warisan itu, Ahmad Syawal melihat potret Melur yang masih utuh di sebelah gambar barisan perajurit negara. Nampak bersih dan suci perempuan itu. Benar kata datuknya itu. Tiadalah erti kebebasan sekarang dan tiada makna dan pemahaman sebenar kembali kepada fitrah. Segalanya sudah terkubur dalam rentak manusia yang semakin tersasar.

Kata para pejuang, hakikat kemerdekaan itu adalah kebebasan; bebas dari penjajah yang menakluk negara ini. Dirujuk si lebai pula apakah erti aidilfitri? Dijelaskannya ia adalah tanda kemenangan kita kembali kepada fitrah dan bebas dari segala dosa dahulu. Nah, bukankah di situ wujudnya titik persamaan?

Namun, parah! Kedua-duanya manusia gagal menilainya. Mereka bebas secara zahiriah namun masih terikat batiniah. Bijak si perosak bangsa menabur benih dahulu kala. Pemergian mereka dahulu meninggalkan baja yang membuahkan hasil yang besar pada masa kini. Kini segalanya rosak. Hancur bangsa, binasa agama. Ah! Sekarang, bukan si tua itu lagi yang perlu melangkah untuk mengubah. Jika dahulu dia pembebas negara dari cengkaman penjajah, sekarang biarkan dia pula yang meleraikan belenggu pemikiran anak watan dari benih bangsa penjajah!

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.